Anda di sini

Pemuda mengaku tidak bersalah bunuh teman lelaki bekas kekasihnya

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah apabila didakwa oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan membunuh teman lelaki bekas kekasihnya di Jalan Stephen Yong pada 15 November tahun lalu. 

Pengakuan itu dibuat Ling Thai Long, 27, sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca terhadapnya. 

Sekyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Hakim Azhahari Kamal Ramli menetapkan pengurusan kes dijadualkan pada 10 September depan, selain menetapkan 2 hingga 11 November depan untuk perbicaraan kes. 

Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh ditahan reman di penjara Puncak Borneo. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Bong Wei Liang, 21, pada 15 November 2019 jam 4.30 pagi, selepas berlaku pertengkaran antara mereka di hadapan sebuah rumah di Taman Kwang Tiong, Jalan Stephen Yong di sini.

Punca kejadian adalah kerana tertuduh cemburu melihat teman wanitanya bersama-sama dengan mangsa. 

Mengikut laporan terdahulu juga, berlaku pertengkaran antara mangsa dan tertuduh sehingga mangsa menumbuk tertuduh.

Tertuduh kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di bahagian rusuk kiri.

Mangsa dikejarkan ke hospital susulan kejadian terbabit, namun dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 1.12 pagi pada 16 November 2019. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Michelle Lim manakala tertuduh diwakili peguam, Fung Lee Fook. 

  • oleh
  • Advertisement