Anda di sini

Pembinaan infrastruktur MSCP siap penghujung September

Advertisement
YII
YII

MIRI: Kerja-kerja pembinaan infrastruktur di empat  kawasan di bawah projek Bandar Raya Pintar Miri (MSCP) dijangka siap pada penghujung September tahun ini.

Kawasan tersebut ialah Wireless Walk, Pusat Kraftangan, Taman Bulatan dan Dataran Kipas.

Datuk Bandar Miri Adam Yii dalam kenyataannya semalam memberitahu, kerja-kerja pembinaan telah bermula 19 Jun lalu dengan tempoh masa siap selama tiga bulan.

“Struktur dan tiang telah didirikan untuk pemasangan kamera CCTV termasuk tiang SOS, skrin papan tanda digital dan kemudahan komunikasi,” jelasnya.

Beliau menambah, kerja pembinaan turut melibatkan pemasangan kabel di jalan dan taman.

Pembinaan infrastruktur antara tiga penyelesaian utama dalam pelaksanaan keseluruhan projek ini selain penyelesaian sistem dan penyelesaian perisian.

Penyelesaian infrastruktur termasuk ‘Bandar Raya Selamat’, ‘Papan Tanda Digital’, ‘Taman Selamat’ dan ‘Saliran Pintar’.

Solusi sistem dan perisian meliputi Bas Pintar, Trak Pintar, Miri Pintar, Pelancongan Pintar dan Miri CARES.

“Kita mahu menukar Miri menjadi tempat kediaman dan kerja yang selamat dan selesa,” tegasnya.

Adam memberitahu, sebanyak sembilan program dilaksanakan untuk Konsep Bukti (POC) MSCP bawah Inisiatif Bandar Raya Pintar Kerajaan Negeri.

“Untuk solusi perisian, ia akan dibangunkan di luar lokasi. Bas Pintar dan Trak Pintar adalah solusi perisian untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan bas dan pengumpulan sampah dengan lebih efisien,” jelasnya lanjut.

Menurut Adam, Pelancongan Pintar adalah salah satu usaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membangunkan Miri sebagai bandar raya peranginan.

Miri CARES merupakan solusi perisian untuk menggalakkan interaksi antara rakyat dan MBM.

Advertisement