Anda di sini

Pembangunan komersial campur bernilai RM7 bilion akan dibina di Kg Meruntum

Advertisement
 Shafie (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Jamalul (dua kiri) dan Jerrand (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain pada majlis berkenaan.
SAKSIKAN: Shafie (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Jamalul (dua kiri) dan Jerrand (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Satu pembangunan komersial campur bernilai RM7 bilion akan dibina di Kampung Meruntum Lok Kawi sekaligus menjadikan ia pelaburan terbesar diterima kerajaan baharu Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembangunan itu adalah usahasama di antara Tegas Bangsa Sdn Bhd (TBSB) dan Yayasan Sabah (YS).

"Pembangunan campur ini terdiri daripada resort, hotel, taman tema serta banyak lagi. Jangka masa pembinaan adalah di antara 12 tahun sehingga 15 tahun.

"Usahasama dilakukan disebabkan tanah yang berkeluasan 391 ekar ini dimiliki Yayasan Sabah," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama antara Yayasan Sabah dan Tegas Bangsa (Pavilion Group) di sini, semalam.

Beliau berkata, tapak lokasi strategik berhampiran lautan serta pulau-pulau di sekitarnya sudah pasti akan mampu menjadi daya tarikan kepada para pelabur asing dalam dan luar negara serta para pelancong.

Shafie yakin selepas pandemik COVID-19 bertambah baik di Sabah nanti, ianya boleh menjadi daya tarikan kepada  para pelabur, langkah yang diambil itu sangat dialu-alukan serta bertepatan pada masanya.

"YS mempunyai nilai tanah berjumlah RM200 juta lebih dan boleh mendapat pulangan sebanyak RM800 juta lebih.

"Oleh itu, usahasama ini cukup menggalakkan, saya tahu kebolehan syarikat ini mempunyai keupayaan serta kekukuhan kewangan...mereka banyak membina pembangunan dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, dengan adanya pembangunan itu, ianya mampu menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan harapan kepada kontraktor-kontraktor kecil untuk memberikan sumbangan sepanjang perkembangan pelaburan itu.

Katanya, projek itu diharapkan boleh dimulakan secepat mungkin memandangkan Pelan Pembangunan juga dalam proses yang positif.

"Saya sendiri akan memantau projek ini, ini adalah salah satu pembangunan terbesar sejak mengambil alih pemerintahan Sabah, walaupun krisis ekonomi melanda global, tetapi syarikat Malaysia ini mampu membuat pelaburan dengan usahasama Yayasan Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Shafie sekali lagi menasihati semua penduduk Sabah agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelakkan daripada jangkitan COVID-19.

Katanya, selagi vaksin belum ditemui, amalkan penjarakan sosial, menggunakan pelitup mulut untuk mengelakkan jangkitan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria, wakil TBSB Jerrand Lim Jen Jiang serta tetamu kehormat yang lain.



 

  • oleh
  • Advertisement