Anda di sini

Pastikan akademik pelajar tak terjejas - Abdullah

Advertisement
Abdullah menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah di kawasannya.
Abdullah menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah di kawasannya.

PULAU BRUIT, DARO: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol berharap tempoh cuti sekolah yang panjang iaitu hampir empat bulan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu tidak terlalu menjejaskan prestasi pelajar khususnya di kawasannya, N42 Semop. 

Beliau turut berharap agar pelajar dapat memahami dan mengingatkan kembali perkara-perkara yang telah mereka pelajari sebelum PKP dikuatkuasakan.

"Saya juga memohon kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa untuk memantau kesihatan anak masing-masing," katanya ketika lawatan kerja meninjau persediaan sekolah untuk memulakan semula sesi persekolahan di Kampung Semop di sini, hari ini.

Tujuan tinjauan ini untuk melihat persediaan langkah-langkah penjagaan kesihatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diberi keutamaan pihak pengurusan sekolah kerana ia melibatkan kanak-kanak. 

Dalam pada itu, tegas Abdullah, antara tanggungjawab warga pendidik selepas PKP adalah memastikan pelajar bersedia dari segi mental dan emosi untuk menyambung sesi persekolahan mereka.

Beliau turut mengadakan perjumpaan bersama pihak pengurusan sekolah, guru besar dan PIBG bagi mendengar isu berbangkit mengenai beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian segera. 

Antaranya, mengenai keperluan bagi memenuhi SOP yang disyorkan, pihak sekolah terpaksa menyusun semula penjarakkan pelajar di dalam kelas dan  keadaan ini memerlukan bilik-bilik tambahan.

Jelasnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop adalah satu-satunya sekolah menengah di Pulau Bruit yang mempunyai penempatan 13 kampung.

Kata beliau, SMK Semop mempunyai 512 pelajar yang mana 396 murid tinggal di asrama sekali gus memberi cabaran kepada pengurusan sekolah berikutan ketiadaan ruang yang cukup besar untuk memenuhi SOP penjarakkan katil bagi mempastikan semua pelajar asrama dapat tinggal di asrama. 

"Keadaan ini telah menyebabkan seramai 116 terpaksa tinggal di rumah dan melalui model pembelajaran yg berlainan.

"Dijangka kemasukan pelajar ke SMK Semop dan SK Semop akan meningkat apabila ramai penduduk akan berpindah dan mendiami penempatan baharu, Penempatan Semula Nelayan di kawasan RGC bersebelahan dengan sekolah tersebut yang mempunyai 300 rumah," tambahnya. 

Selain itu, beliau memberitahu, isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan masalah tekanan air paip yang rendah dan dewan makan yang kecil. 

Beliau memandang serius perkara yang dibangkitkan dan akan membawa isu tersebut untuk perhatian dan tindakan segera jabatan berkaitan.

Dalam pada itu, Abdullah berazam untuk membantu pihak pengurusan sekolah lain dalam DUN Semop dengan kerjasama PIBG setakat yang mampu.

Pada lawatan itu, beliau turut memberi sumbangan kepada tiga sekolah iaitu SMK Semop, SK Semop dan SK Serdeng seperti dua unit termometer, sekotak sanitasi tangan dan tiga kotak pelitup muka setiap sekolah. 

Selain itu, beliau turut menyampai sumbangan peruntukan kewangan atas permohonan PIBG bagi tujuan aktiviti sekolah, iaitu RM3,500 kepada PIBG SK Serdeng dan PIBG SMK Semop RM5,000.

Beliau juga akan menghubungi sekolah-sekolah dan PIBG-PIBG lain dalam DUN Semop untuk mendapat maklum balas tentang keperluan yang sama.

"Saya juga memberi perhargaan kepada semua warga pendidik serta warga kerja sekolah yang bekerja keras  membersih sekolah serta membuat persediaan yang lain sebelum sesi persekolahan bermula semula," ujarnya. 

Hadir sama Pengetua SMK Semop Abdul Ghani Sibli, Guru Besar SK Kpg Serdeng Hajijah Deni, Penolong Kanan SK Semop Norasiah Hadran, Ketua Kaum Kampung Semop Kamri Haron, Kaunselor Rosita Jahari, Yang Dipertua PIBG SMK Semop Norhamlor Nawi, Yang Dipertua PIBG SK Kampung Serdeng Sansiah Napis, Yang Dipertua PIBG SK Semop Zuriyanti Mohd Terang dan tetamu kehormat lain. 

  • oleh
  • Advertisement