Anda di sini

Lelaki buat rayuan terhadap hukuman penjara 10 tahun

Advertisement
 
 

KUCHING: Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun akibat melakukan amang seksual terhadap cucu saudaranya yang berusia tiga tahun, cuba membuat rayuan terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Azhahari Kamal Ramli hari ini menetapkan pihak pembelaan untuk memfailkan petisyen rayuan pada 17 Julai depan. 

Lelaki berusia 55 tahun itu mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Mahkamah Sesyen Kota Samarahan.

Selain dipenjara, Hakim Afidah Abdul Rahman turut mengenakan tiga sebatan ketika menjatuhkan hukum terhadap tertuduh pada 24 Januari lalu. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu saudaranya yang berusia tiga tahun, dengan cara menyentuh kemaluan mangsa untuk tujuan seksual pada 26 Disember tahun lalu, jam 9.20 pagi di rumah mereka di Kampung Merakai, Serian. 

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa terdengar anaknya menangis di bilik tidur. 

Apabila dia masuk ke bilik, dia mendapati bapa saudaranya (tertuduh) sedang berada di situ sambil memasukkan seluar pendek yang terletak di paras lututnya. 

Dia seterusnya bertindak memeriksa seluar mangsa dan mendapati seluar tersebut basah.

Justeru, bapa mangsa membuat laporan polis setelah mengesyaki tertuduh mencabul kehormatan anaknya. 

Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Michelle Lim manakala tertuduh diwakili peguam, Roy Angau Gingkoi dan Christopher Bada. 

  • oleh
  • Advertisement