Anda di sini

Lelaki bersenjata bunuh 24 di pusat pemulihan dadah Mexico

Advertisement
 Anggota Pengawal Negara dilihat berkawal selepas lelaki bersenjata membunuh 24 orang di pusat pemulihan dadah di  Irapuato, negeri Guanajuato kelmarin. — Gambar AFP
KAWALAN KETAT: Anggota Pengawal Negara dilihat berkawal selepas lelaki bersenjata membunuh 24 orang di pusat pemulihan dadah di Irapuato, negeri Guanajuato kelmarin. — Gambar AFP

GUANAJUATO: Lelaki bersenjata kelmarin menye-rang sebuah pusat pemulihan dadah di bahagian tengah Mexico, membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan tujuh lagi, kata pihak berkuasa tempatan.

Menurut maklumat awal, penyerang “memasuki tempat kejadian, memaksa mangsa meniarap di atas lantai dan menembak mereka,” kata Pedro Cortes, selaku setiausaha keselamatan awam di Irapuato, yang terletak ke barat laut Kota Mexico di negeri Guanajuato.

“Kita ada laporan yang menyebut subjek bersenjata tiba dengan menaiki sebuah kenderaan merah, tiada maklumat lanjut diketahui. Laporan awal yang kita ada ialah mengenai 24 orang yang mati dan tujuh yang cedera,” tambahnya.

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesan kenderaan terbabit, kata Cortes.

Bandar Irapuato menyebut dalam satu kenyataan bahawa tiga mangsa yang cedera berada dalam keadaan yang serius, tetapi tidak ada orang diculik dalam serangan itu.

Ia menambah kawasan kejadian telah ditutup untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Negeri Guanajuato, yang mempunyai industri besar dan beberapa kilang pembuatan auto yang besar, dihantui keganasan jenayah terancang.

Kekayaan negeri itu telah menarik kumpulan seperti kartel-kartel dadah yang berpengaruh, Jalisco New Generation dan Santa Rosa de Lima, yang turut terlibat dalam pemerasan, penculikan dan kecurian bahan bakar.

Gabenor Guanajuato, Die-go Sinhue, menyampaikan ucapan takziah menerusi Twitter dan berkata “campur tangan bersepadu oleh pihak berkuasa persekutuan dan negeri adalah perlu sebagai satu-satunya cara untuk mendepani situasi ini dengan berjaya”.

“Komitmen institusi dan saya sendiri adalah kepada mangsa yang terkorban atau cedera dalam serangan pengecut ini,” tambahnya.

Pada 21 Jun lalu, pihak berkuasa Mexico meng-umumkan penangkapan 26 orang yang didakwa anggota kumpulan samseng Santa Rosa de Lima selepas kenderaan yang terbakar digunakan sebagai sekatan jalan di bandar-bandar Celaya, Salamanca and Villagran.

Ekoran episod ganas itu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata kerajaannya tidak akan membiarkan negara itu “jatuh ke dalam anarki dan huru-hara”.

Hanya beberapa hari sahaja sebelum itu, enam anggota sebuah keluarga, termasuk seorang kanak-kanak, dilaporkan dibunuh di Celaya. — AFP

Advertisement