Anda di sini

KPDNHEP Tawau keluarkan kompaun RM2,200 terhadap tiga premis perniagaan

Advertisement
 Anggota Penguatkuasa KPDNHEP Tawau mengadakan pemeriksaan di premis Taman Sejati.
PERIKSA : Anggota Penguatkuasa KPDNHEP Tawau mengadakan pemeriksaan di premis Taman Sejati.

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,200 terhadap tiga premis perniagaan di sekitar Taman Sejati Jalan Kuhara, di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau Aslani Dabi berkata tindakan itu dibuat selepas anggota penguatkuasa yang menjalankan pemeriksaan rutin harian di kawasan tersebut mendapati premis berkenaan melanggar pelbagai kesalahan.

"Hasil siasatan yang dijalankan, sebuah daripada premis yang dikenakan tindakan itu gagal meletakkan tanda harga pada tong Gas Petroleum Cecair (LPG) yang dipamerkan di hadapan premis untuk jualan kepada pelanggan.

"Pengurus premis terbabit mengetahui atas kesalahannya di bawah sub peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit) 1993 dan beliau telah ditawarkan kompaun sebanyak RM1,000," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mengulas lanjut, di kawasan yang sama, dua lagi peniaga dikenakan tindakan kompaun masing-masing RM200 yang melibatkan peniaga runcit milik perseorangan dan RM1,000 kepada peruncit berstatus syarikat perbadanan atas kesalahan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah tamat tempoh di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan sukat 1972.

Beliau menegaskan, KPDNHEP Tawau sentiasa mengadakan pemantauan dan pemeriksaan ke atas semua premis perniagaan di daerah ini dan menasihatkan semua peniaga menjalankan  perniaan secara beretika dan mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

"Peniaga juga diingatkan supaya menjual barang-barang terkawal seperti pelitup muka dan gula pasir mengikut harga yang sudah diwartakan oleh pihak kerajaan.

"KPDNHEP Tawau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga yang melanggar dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dan lain-lain akta yang dikuatkuasakan," katanya.

Beliau turut memberi amaran supaya jangan menjual barang dengan harga yang tidak munasabah (mencatut) dan jangan menyimpan atau menahan barangan termasuk pelitup muka daripada sampai ke pasaran dengan tujuan untuk manipulasi harga.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat peniaga yang menjual barang terkawal melebihi harga yang ditetapkan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement