Anda di sini

Kedai makanan popular di Kuching tanda keunikan hidup rakyat Sarawak

Advertisement
Nancy (kanan) bersama Abdul Karim (kiri), Sebastian (dua kiri) dan Hii menikmati juadah popular Sarawak di Yong Hua Cafe, Satok.
Nancy (kanan) bersama Abdul Karim (kiri), Sebastian (dua kiri) dan Hii menikmati juadah popular Sarawak di Yong Hua Cafe, Satok.

KUCHING: Dua kedai makanan popular Sarawak, Yong Hua Cafe di Satok dan Rojak Kucei di Batu Lintang di sini masih kekal menjadi tempat tarikan masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong menikmati juadah tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kedua-dua kedai itu telah wujud puluhan tahun lalu dari generasi ke generasi.

Lebih uniknya, katanya, pelanggan di kedua-dua kedai makan itu terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam semangat toleransi yang tinggi.

"Kedai Yong Hua Cafe ini dimiliki orang Cina yang wujud di sini (Satok) sejak saya dibangku sekolah rendah lagi yang mana majoriti 90 peratus pelanggannya adalah muslim.

"Ini menggambarkan toleransi yang tinggi dalam masyarakat kita dan pemiliki kedai juga memahami sensitiviti orang Muslim yang mana sajian yang dihidangkan kepada pelanggan adalah halal," katanya ketika ditemui pemberita di Yong Hua Cafe di  Satok, hari ini.

Tambah Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, disebabkan itu, pelanggan terutamanya masyarakat Melayu yakin dengan hidangan yang dijual di kedai tersebut.

"Di sini ada mi kolok, laksa dan mi jawa, malahan 'Bak Kut Teh' yang dimasak menggunakan bahan yang halal oleh pemiliknya," jelasnya sambil mengimbau kenangan zaman sekolahnya bersarapan di kedai berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua kedai tersebut amat popular di bandar raya ini dengan keunikan tersendiri.

"Menu 'Bak Kut Teh' yang dijual di kedai ini adalah halal yang diperbuat daripada daging lembu tetapi kalau di Semenanjung dengar sahaja perkataan 'bak' mereka anggap tidak halal kerana beranggapan ia adalah bermaksud daging babi," katanya.

Dalam pada itu, beliau kagum dengan pemilik-pemilik kedai berkenaan yang meneruskan perniagaan yang diwarisi dari turun temurun.

Justeru, beliau berharap pemilik kedai berkenaan dapat melebarkan sayap dengan membuka cawangan baharu untuk meningkatkan lagi perniagaan masing-masing di negeri ini.

Pada masa sama Abdul Karim yakin ia merupakan antara produk pelancongan yang menawarkan sajian makanan popular Sarawak.

"Ini boleh menjadi tempat tarikan untuk pelancong terutamanya pelancong domestik bagi merasakan masakan makanan tempatan yang popular di Sarawak," ujarnya.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee dan tetamu kehormat lain.

Selepas itu, Nancy bersama Abdul Karim dan rombongan kementerian mengunjungi pemain Sape Matthew Ngau di Singai sebelum ke Resort Bamboo Libiki.

Mereka juga dijadualkan melawat Pusat Warisan Gumbang dan pada malam di Bandar Warisan Siniawan.