Anda di sini

Kastam rampas rokok seludup bernilai lebih RM12 juta di Pelabuhan Utara

Advertisement
 Johari (tengah)  menunjukkan rokok putih yang dirampas hasil risikan Unit Siasatan Dalaman (USD) Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menumpaskan sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan Khamis lalu pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, Pelabuhan Klang semalam. Kastam menahan tiga kontena berukuran 40 kaki yang bermuatan rokok dianggarkan bernilai RM12.4 juta dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM21.07 juta.  — Gambar Bernama
TUMPAS: Johari (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas hasil risikan Unit Siasatan Dalaman (USD) Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menumpaskan sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan Khamis lalu pada sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, Pelabuhan Klang semalam. Kastam menahan tiga kontena berukuran 40 kaki yang bermuatan rokok dianggarkan bernilai RM12.4 juta dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM21.07 juta. — Gambar Bernama

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 30.1 juta batang rokok bernilai RM12.04 juta  di Pelabuhan Utara, di sini Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pamatuhan) Datuk Johari Alifiah berkata rampasan rokok berkenaan yang dimuatkan dalam tiga kontena  itu adalah hasil risikan Unit Siasatan Dalaman (USD) JKDM selama tiga bulan.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas tiga kontena bersaiz 40 kaki itu, kita menemui rokok seludup pelbagai jenama antaranya John D-Blend, John JGI dan Boss Blend yang disyaki barang larangan atau barang belum lulus kastam.

Analisis ke atas borang Kastam 1 (import) menunjukkan dagangan (rokok) di dalam tiga kontena tersebut diikrar sebagai ‘Hubble Plate’ serta ‘Mechanical Stent’ dan ia berbeza dengan isi kandungan fizikal dagangan yang ditemui,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata rampasan rokok yang membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM21.07 juta itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini menggunakan kapal dari China.

Susulan rampasan rokok itu katanya, JKDM menahan tiga lelaki termasuk seorang ejen kastam berumur antara 27 hingga 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam membuat pengikraran barang dagangan di dalam kontena terbabit.

“Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran pada borang kastam yang tidak benar sebelum barangan dagangan tiba di pelabuhan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak kami.

Selain itu, borang kastam yang diikrar juga mengguna pakai lesen Gudang Pengilang Berlesen (GPB) serta butiran dagangan yang bukan kritikal untuk mengelirukan pegawai penaksir bagi tujuan pelepasan dagangan tersebut,” katanya.

Johari berkata JKDM kini sedang mengesan beberapa lagi individu dipercayai terlibat dalam kes  berkenaan  yang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. — Bernama

Advertisement