Anda di sini

Harga tiket penerbangan perlu kembali normal - Ismail Sabri

Advertisement
Ismail Sabri  ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Harga tiket penerbangan perlu kembali normal kerana syarikat penerbangan telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh penumpang. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mengambil maklum isu harga tiket penerbangan yang tinggi terutamanya bagi penerbangan domestik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Peringkat awal itu kita faham harga tinggi kerana arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, syarikat penerbangan tidak boleh (beroperasi pada) kapasiti penuh kerana penjarakan sosial penumpang dalam pesawat.

“Tetapi kita akhirnya telahpun membenarkan syarikat penerbangan beroperasi dengan kapasiti penuh penumpang, tiada penjarakan sosial lagi. Oleh itu, Mesyuarat Khas (Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan) berpendapat harga tiket penerbangan perlu kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk memberi harga tiket istimewa kepada guru, murid dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia berikutan pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat bermula 15 Julai ini serta IPT yang akan menyambung semula sesi pengajian kelak.

“Kementerian Pengangkutan telah diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa, dengan kementerian itu hari ini bertemu pengusaha padang dan gelanggang komersial serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal.

“Keputusan untuk membenarkan aktiviti sukan berkontak bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, Ismail Sabri berkata 16 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, dua individu telah direman, manakala 14 individu lagi telah dikenakan kompaun. Kesemua mereka didapati menjalankan aktiviti yang melanggar SOP termasuk gagal mendaftar serta mengambil suhu badan pelanggan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, sejak dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 1,215 pendatang tanpa izin dan 215 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus serta turut ditahan 80 individu yang disyaki penyeludup serta 39 buah kapal dalam Operasi Benteng.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) berjaya menahan sembilan warganegara asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI (pendatang tanpa izin),” katanya. - Bernama

Advertisement