Anda di sini

Ewon terima kunjungan Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Negeri Sabah

Advertisement
 Ewon bergambar bersama Setiausaha-setiausaha Politik selepas kunjungan itu.
ALBUM KENANGAN: Ewon bergambar bersama Setiausaha-setiausaha Politik selepas kunjungan itu.

 

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Negeri Sabah yang diketuai oleh Haji Hasbullah Datuk Haji Raudah.

Kunjungan tersebut bertujuan berkongsi maklumat mengenai pelaksanaan pembangunan dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

Ewon turut menyatakan pelbagai inisiatif program baharu yang dilaksanakan oleh KPLB Sabah seperti Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Bekalan Air Alternatif dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif serta usaha-usaha pendigitalan perkhidmatan kementerian.

"Kementerian telah memperkenalkan program-program baharu ini menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada.

“Bermula pada tahun 2021, saya gembira kerana kod-kod peruntukan telahpun diwujudkan untuk program-program baharu ini, bererti akan ada peruntukan khusus setiap tahun yang akan disediakan.

"Ini merupakan sebahagian nilai tambah dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah hari ini. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal di atas sokongan penuh memastikan program-program baharu ini mendapat peruntukan tetap setiap tahun," katanya.

Ewon berkata, peruntukan tetap tersebut kelak akan membantu KPLB Sabah melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

"Saya juga mengalu-alukan beberapa pandangan dan input yang telah dikemukakan oleh Setiausaha-Setiausaha Politik dalam kunjungan ini.

“Sebahagiannya kita sedang ambil tindakan. Kementerian akan mengambil tindakan beberapa lagi perkara lain yang telah dibangkitkan," kata Ewon.

Terdahulu, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan memberikan taklimat mengenai dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan KPLB Sabah, pelan strategik dan kad laporan prestasi Kementerian.

Turut hadir menerima kunjungan tersebut ialah Pembantu Menteri Rasinin Koutis serta ketua-ketua seksyen KPLB Sabah.
 

Advertisement