Anda di sini

Diserang buaya ketika ikat batang rumbia

Advertisement
 Di sinilah mangsa diserang buaya ketika mengikat batang rumbia.
LOKASI KEJADIAN: Di sinilah mangsa diserang buaya ketika mengikat batang rumbia.

PUSA: Seorang lelaki yang sedang mengikat batang rumbia di Sungai Undey, dekat sini, menjadi mangsa serangan buaya, sekitar jam 3 petang semalam.

Mangsa yang hilang tersebut dikenali sebagai Sarkawi Talib, 61, dari Kampung Tambak, Pusa.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan I(PBKI) Hendry Jugah berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut daripada pihak polis pada jam 3.45 petang.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, empat anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

“Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang mengambil batang rumbia.

“Ketika sedang leka bekerja mengikat batang rumbia di tebing sungai, salah seorang daripada rakan mangsa telah ternampak mangsa disambar buaya dari dalam sungai,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Pada masa yang sama juga  katanya, rakan mangsa turut menyaksikan mangsa  diseret buaya ke bahagian hulu sungai berkenaan.

“Melihat keadaan tersebut, rakan mangsa terus memaklumkan kejadian tersebut kepada rakannya yang lain dan seterusnya membuat laporan polis,” kata Hendry.

Berikutan laporan tersebut, operasi SAR terus dilancarkan dengan  melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Namun hingga jam 6.40 petang semalam mangsa masih lagi belum ditemui dan operasi SAR telah ditangguhkan dan akan disambung semula hari ini.

Advertisement