Anda di sini

CIDB laksana Ops Bersepadu Penguatkuasaan COVID-19, pantau pematuhan SOP di tapak projek

Advertisement
 Suasana semasa Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Covid-19 Antara Jabatan 2020 dijalankan.
PERIKSA: Suasana semasa Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Covid-19 Antara Jabatan 2020 dijalankan.

 

KOTA KINABALU: Lembaga Pembinaan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melaksanakan Program Operasi Penguatkuasaan Bersepadu COVID-19 Antara Jabatan 2020 bersama beberapa agensi penguatkuasa kerajaan di negeri ini bagi memastikan pematuhan terhadap Prosedur Standard Operasi (SOP) dan peraturan di tapak projek dipatuhi.

Peraturan yang dikuatkuasakan termasuklah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Kementerian Kesihatan Malaysia serta Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) serta peraturan yang ditetapkan oleh agensi masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuatkuasa sejak Mac lalu.

Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan berkata, operasi disertai 30 anggota keseluruhan termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Akedemi Binaan Malaysia (ABM).

“Selain mewujudkan kerjasama antara jabatan, operasi ini juga meningkatkan kesedaran kepada pemain industri terhadap budaya norma baharu untuk menangani penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan berpandukan kepada SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Menurutnya, setakat 30 Jun lalu, CIDB berjaya memeriksa sebanyak 802 tapak projek dan statistik pemantauan mendapati sebanyak 70.9 peratus tapak beroperasi di seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan Penguatkuasa CIDB berkaitan Pendaftaran Kontraktor mengikut Seksyen 25 dan Kewajipan Kontraktor bagi Seksyen 34(1)(b), semua tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi SOP di tapak bina semasa tempoh PKPP.

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa amaran secara lisan dikeluarkan kepada kontraktor yang gagal mematuhi sebahagian SOP MKN dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan operasi terbabit, beliau berkata operasi yang dijalankan pada awal Julai itu berjaya memeriksa dua Kontraktor Utama dan satu Subkontraktor manakala 215 pekerja diperiksa termasuk 185 pekerja asing dan 30 warga tempatan. Kesemua pekerja asing juga sudah menjalani ujian COVID-19.
Katanya, CIDB juga mengeluarkan tiga notis kepada kontraktor diikuti tiga notis dan lima amaran DBKK manakala JKNS mengeluarkan empat notis serta satu kompaun.
“Bagi penguatkuasaan Pendaftaran Kontraktor, mana-mana kontraktor yang gagal untuk mendaftar dengan CIDB, mereka boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 mengikut Seksyen 29 jika disabitkan bersalah.

“Untuk pelanggaran mengikut Kewajipan Kontraktor, mana-mana kontraktor yang gagal mengikuti peraturan ini, kontraktor boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan kewajipan kontraktor adalah seperti tanggungjawab kontraktor untuk mengemaskini maklumat terkini kepada CIDB, memastikan kerja-kerja pembinaan dibuat berlandaskan Akta 520 dan akta berkaitan selain memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar pemain industri sentiasa mematuhi lima skop CIDB iaitu Pendaftaran Kontraktor, Levi, Personel Binaan, Akreditasi dan Bahan Binaan.

 

  • oleh
  • Advertisement