Anda di sini

ATM beri kerjasama bina rumah mangsa kebakaran

Advertisement
 Hafizuddeain (tengah) berbincang dengan Shafie (kanan) sambil diperhati Nazulisyam (kiri).
BINCANG: Hafizuddeain (tengah) berbincang dengan Shafie (kanan) sambil diperhati Nazulisyam (kiri).

KOTA KINABALU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan kerjasama dalam membina semula rumah mangsa kebakaran di Kampung Gunding, Kota Belud.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, bantuan dari segi tenaga kerja serta kepakaran bakal diberikan dengan kerjasama dari agensi-agensi lain.

"Dua buah rumah penduduk di Kg. Gunding terbakar dan ranap sepenuhnya. Kerajaan Sabah sangat bersimpati atas kejadian ini dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan agar ATM dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung mangsa.

"Kita mempunyai skuadron jurutera yang telah diarahkan turun membuat tinjauan seterusnya menilai keperluan gotong-royong bersama penduduk kampung serta agensi lain.

"Kita berharap semoga melalui usaha ini, proses pembinaan semula rumah mangsa dapat dilakukan dengan lancar," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Khamis.

 Dalam pada itu, Hafizuddeain menjelaskan bahawa isu mengenai banjir di Kota Belud turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah 5 Skuadron RAJD, Mejar Nazulisyam Ahmed Naim dan Pegawai Staf 2 Tadbir Markas 5 Divisyen, Mejar Paul Ondahal.-Penerangan.

Advertisement