Anda di sini

UNIMAS menyumbang 10 beg jenazah kepada HUS

Advertisement
 Wan Hashim (dua kiri) menyerahkan sumbangan beg jenazah kepada Dr Hayati sambil disaksikan tetamu kehormat lain.
TERIMALAH: Wan Hashim (dua kiri) menyerahkan sumbangan beg jenazah kepada Dr Hayati sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tampil membantu kerajaan negeri menyokong barisan hadapan menangani pandemik COVID-19 dengan menyumbang 10 beg jenazah kepada Hospital Umum Sarawak (HUS).

UNIMAS dalam kenyataannya semalam berkata beg jenazah atau dikenali ‘Body Enclosure for Corpse’ itu diserahkan pada majlis ringkas di Rumah Universiti UNIMAS pada Selasa.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim kepada Timbalan Pengarah HUS Dr Hayati Ja’afar.

Wan Hashim, berkata UNIMAS telah mewujudkan dana COVID-19 dan ia diguna pakai untuk menghasilkan produk-produk terutamanya melibatkan produk peralatan perlindungan peribadi (PPE) kegunaan petugas barisan hadapan khususnya di hospital-hospital kerajaan dan swasta.

“Salah satu produk yang dibangunkan adalah ‘Body Enclosure for Corpse’, yang telah dicipta oleh para penyelidik daripada Institut Seni Kreatif dan Teknologi atau kita panggil iCreaTe UNIMAS,” katanya.

Beliau menambah, produk tersebut telah dibangunkan sejak tahun 2016, setahun kemudiannya, produk sama tetapi versi pertama yang dikenali sebagai ‘Smart Soft Stretcher’ (3S), telah memenangi tempat kedua pada Anugerah Pengkomersialan Malaysia 2017 bagi kategori Usahawan Sosial.

Dalam pada itu, Dr Hayati berterima kasih kepada UNIMAS atas sumbangan berkenaan dan menurutnya ia banyak membantu HUS memudahkan pengurusan jenazah terutama melibatkan pesakit COVID-19.

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sehingga kini, UNIMAS juga telah menyerahkan sumbangan lain seperti kotak intubasi, pencuci tangan pembasmi tangan, pelindung muka (face shield), penutup mulut dan hidung untuk membantu para barisan hadapan di HUS.

Sehubungan itu beliau berharap UNIMAS akan terus memberi kerjasama kepada HUS untuk bersama-sama berusaha menangani pandemik COVID-19 dan juga berharap agar lebih banyak agensi lain turut membantu HUS untuk tujuan yang sama.

Advertisement