Anda di sini

Tujuh premis judi dalam talian dipotong bekalan elektrik

Advertisement
 

KUCHING: Bekalan elektrik ke tujuh premis di sekitar bandar raya ini dipotong apabila disyaki masih menjalankan kegiatan perjudian dalam talian, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa.

Menurutnya operasi semalam diadakan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) membabitkan lima kedai menjual aksesori telefon, kedai runcit dan sebuah pondok kecil yang sebelum ini pernah diambil tindakan dan amaran.

Jelasnya tindakan tersebut diambil mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Seksyen ini membenarkan polis membuat permohonan untuk pemotongan bekalan elektrik jika mempunyai asas dan alasan kukuh premis berkenaan menjalankan aktiviti judi dalam talian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sejak 29 Jun sehingga semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah melakukan enam serbuan ke atas premis judi dalam talian.

Dalam serbuan tersebut, seramai tujuh lelaki ditangkap termasuk seorang warga asing berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,0000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement