Anda di sini

Tiga lelaki tempatan ditahan disyaki cuba seludup barang terpakai

Advertisement
 Lori yang digunakan mengangkut barang-barang terbabit ke tepi Sungai Wakuba.
LORI: Lori yang digunakan mengangkut barang-barang terbabit ke tepi Sungai Wakuba.

TAWAU: Tiga lelaki warga tempatan ditahan ketika cuba menyeludup keluar barang-barang terpakai ke negara jiran melalui jeti yang tidak diwartakan, di Sungai Wakuba, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Batalion 14 Pasukan Gerakan AM (PGA) bersama Pos Indera Sabah menyerbu suspek sebaik menerima maklumat risikan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pasukannya mendapat arahan untuk membuat serbuan ke atas kegiatan yang dilakukan suspek di kawasan berhampiran kolam Udang di Wakuba.

"Dalam serbuan itu, pasukan Batalion 14 PGA dan Pos Indera Sabah yang menjalankan tugas Ops Benteng COVID-19 mendapati terdapat tiga lelaki berumur 37 hingga 59 tahun sedang memunggah barang di dalam karung berwarna putih dari dua buah lori," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 324 karung yang mengandungi barang-barang terpakai dianggarkan bernilai RM162,000 disyaki cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan tikus.

"Semasa serbuan dilakukan sebanyak 105 karung sudah dipunggah dan diletakkan di tepi sungai untuk dimuatkan ke dalam bot manakala bakinya masih berada di dalam lori.

"Kesemua tangkapan dan barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM342,000 itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.