Anda di sini

Solskjaer kagumi prestasi Fernandes

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Manchester United di Stadium American Express Community di Brighton. Manchester United menang dengan 3-0. — Gambar AFP
AKSI RANCAK: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Manchester United di Stadium American Express Community di Brighton. Manchester United menang dengan 3-0. — Gambar AFP

BRIGHTON, England: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata Bruno Fernandes membawa mentaliti kemenangan ke Manchester United selepas dua gol beliau membantu kelab menang 3-0 di Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Selasa.

Dibantu dengan aksi memberangsangkan oleh Fernandes, United mempamerkan salah satu prestasi terbaik mereka musim ini pada perlawanan di Stadium Amex.

Mason Greenwood membuka jaringan pada awal separuh masa pertama dan Fernandes menambah jaringan sebelum rehat.

Fernandes melengkapkan jaringan selepas rehat dengan satu rembatan cantik ketika United memintas Wolves di tangga  kelima dengan perbezaan gol.

“Bruno sudah datang dan beraksi dengan hebat. Beliau membawa mentaliti kemenangan bersama beliau, iaitu 99 peratus adalah tidak cukup bagus. Ia harus 100 peratus,” kata Solskjaer.

“Saya mempunyai lebih dari seorang pemain yang mampu mengubah permainan. Gol ketiga adalah satu gol berpasukan yang hebat. Untuk melihat begitu ramai pemain membantu serangan adalah hebat. Ia satu penyudah cantik oleh Bruno.”

United kini dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, yang bermain lewat menentang West Ham United.

Dengan slot tangga kelima liga dijamin kelayakan ke Liga Juara-Juara jika Manchester City gagal dalam rayuan menarik balik hukuman penggantungan dua tahun beraksi di Eropah, United berada pada kedudukan yang baik untuk kembali ke kejohanan elit kelab di Eropah.

Jika mereka berjaya, United pastinya terhutang budi dengan Fernandes, yang sudah menjaringkan enam gol sejak tiba dari Sporting Lisbon pada bulan Januari.

“Ia menggembirakan untuk melihat pasukan apabila mereka bermain seperti itu,” kata Solskjaer.

“Tahap keyakinan datang dari prestasi. Mereka bekerja-keras semasa perintah sekatan pergerakan dan kami tahu kami perlu bermain dalam masa yang singkat.

“Saya tidak kisah untuk membuat satu kenyataan, saya tahu kami adalah pasukan yang bagus.”

Dengan baki perlawanan menentang pasukan lemah seperti Bournemouth, Aston Villa dan West Ham, United berada di landasan cerah untuk mengintai penamat yang memberangsangkan musim ini ketika mereka masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Europa.

Brighton mengumpul empat mata dari dua perlawanan sejak musim disambung semula, mengenepikan kebimbangan penyingkiran tetapi kekalahan ini bermakna mereka masih belum selamat. — AFP

Advertisement