Anda di sini

RM32.2 juta untuk bantu 128,000 pekebun getah di Sarawak

Advertisement
Latiff (tiga kanan) ditemani Henry (kanan), Abdullah, Rubiah dan Salem menanam pokok durian 'Musang King' sebagai gimik perasmian Pejabat Baharu RISDA Sarawak.
Latiff bersama Henry, Abdullah, Rubiah dan Salem menanam pokok durian 'Musang King' sebagai gimik perasmian Pejabat Baharu RISDA Sarawak.

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM32.2 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak bagi melaksanakan program pembangunan untuk 128,000 pekebun getah di negeri ini.

Menterinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata daripada jumlah itu RM25.3 juta khusus diperuntukkan untuk pembangunan program tanaman semula di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RMK-11 membabitkan kawasan seluas 10,798.7 hektar.

"Manakala selebihnya bagi program pengembangan prasarana dan latihan, keusahawanan, produktiviti serta pembagunan hasil baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat baharu RISDA Sarawak yang menelan kos sebanyak RM8 juta di Kota Samarahan di sini hari ini.

Pada masa sama Latiff memberitahu, RISDA menerima peruntukan sebanyak RM521 juta untuk menguruskan program-program pembangunan yang melibatkan pemerkasanaan program tanaman semula dan peningkatan pendapatan pekebun kecil melalui aktiviti keusahawanan.

Katanya, ia juga bagi mempergiatkan aktiviti pembangunan pekebun kecil melalui Program Pembangunan Hasil Baharu Agro Makanan serta memperbanyakkan program yang dekat dengan pekebun kecil getah agar masyarakat luar bandar dapat merasai perkhidmatan yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen yang baik dari semua agensi di Sarawak terutamanya Pejabat Tanah dan Survei dalam membantu RISDA menyampaikan perkhidmatan kepada pekebun kecil dengan kejayaan keluasan kawasan tanam semula seluas 27,000 hektar selama 10 tahun RISDA ditubuhkan di negeri ini.

Jelasnya lagi, cabaran pengesahan Tanah Tanpa Hak Milik bagi Tanah Hak Adat Bumiputera, namun cabaran tersebut diselesaikan dengan kerjasama daripafa Pejabat Tanah Dan Survei Sarawak.

Hasil kerjasama itu katanya, seluas 27,000 hektar telah ditanam semula dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM336 juta dengan kekuatan kakitangan RISDA seramai 242 orang.

"Kejayaan ini membuktikan kemampuan RISDA serta agensi luar bandar di Sarawak yang sentiasa menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat luar bandar," ujarnya.

Manakala bagi program prasarana, beliau memberitahu, RISDA Sarawak menerima RM3.7 juta dan berjaya membelanjakan 97 peratus peruntukan berkenaan bagi menyokong 30 Projek Tanam Semula Berkumpulan meliputi hampir 40 Kilometer jalan pertanian, 40 unit pembentung, dan 2.02 Kilometer sistem perparitan.

Menurutnya, RISDA Sarawak turut menerima peruntukan sebanyak RM1.2 juta yang akan memberi manfaat kepada 406 usahawan dalam bidang pertanian, perkhidmatan, makanan dan pembuatan. 

Tambahnya lagi, RISDA Sarawak turut menyasarkan untuk melahirkan 76 usahawan baru pada 2020 ini. 

Selain itu, Latiff berkata, kementeriannya merancangan untuk memperkasakan pekebun kecil getah di negara ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport getah.

Ditanya tentang pertemuannya dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa pagi tadi, jelasnya, lawatan itu merupakan lawatan rasminya ke negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah kepada RM4,000 sebulan menerusi aktiviti tambahan menerusi kepelbagaian ekonomi tambahan untuk golongan tersebut.

"Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi sebab itu kita mengadakan program kepelbagaian ekonomi tambahan ini," ujarnya.

RISDA mempunyai empat pejabat bahagian di Sarawak iaitu di Samarahan, Betong, Sibu dan Miri selain 13 Pejabat stesen dengan 242 kakitangan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong, Ketua Pengarah RISDA Abdullah Zainal, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement