Anda di sini

Polis rampas tujuh kontena minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.9 juta

Advertisement
 Salah satu kontena mengandungi sejumlah minuman keras yang dirampas dalam beberapa serbuan penghujung Jun.
RAMPAS: Salah satu kontena mengandungi sejumlah minuman keras yang dirampas dalam beberapa serbuan penghujung Jun.

KOTA KINABALU: Polis merampas tujuh kontena mengandungi 18,320 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1,902,293.91 yang dipercayai diseludup tanpa kelulusan kastam dalam tiga serbuan berasingan sekitar sini pada penghujung bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, sepanjang serbuan terbabit pihaknya juga memberkas tujuh individu tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini.

“Serbuan pertama dijalankan di sebuah gudang di Kampung Giling kira-kira jam 12.05 tengah hari pada 23 Jun lalu membabitkan rampasan tiga kontena mengandungi 8,040 karton minuman keras masing-masing 2,712 pada kontena pertama, 2,594 di kontena kedua diikuti 2,734 karton di dalam kontena ketiga dengan nilai keseluruhan RM111,144.96 manakala taksiran cukai yang dianggarkan bernilai RM1,342,168.50.

"Polis kemudiannya menahan dua lelaki dalam serbuan ini iaitu tangkapan pertama membabitkan penjaga gudang berumur 34 tahun dan penyelia gudang berumur 25 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, seminggu kemudian serbuan kedua dijalankan di kawasan lapang Jalan Kolombong dengan penemuan sebuah kontena yang ditinggalkan tanpa penjaga kira-kira jam 4.10 petang pada 29 Jun.

“Melalui hasil risikan dalam tempoh tertentu di sekitar kawasan itu tiada individu yang mendekati atau menguruskan kontena terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 2,600 karton minuman keras jenama terkenal yang dianggarkan bernilai RM195,312 dan taksiran cukai adalah sebanyak RM311,847.12.

“Melalui hasil serbuan ketiga di sebuah tapak penyimpanan kontena di Jalan Tuaran Bypass, polis berjaya menemukan tiga lagi kontena yang mengandungi 2,810 karton di kontena pertama diikuti 2,800 di kontena kedua dan 2,070 bagi tiga jenama berlainan di kontena ketiga dengan jumlah 7,680 karton keseluruhan.

“Minuman keras di dalam ketiga-tiga kontena ini dianggarkan bernilai RM403,776.69 termasuk RM248,278.29 taksiran cukai Kastam,” katanya sambil menambah tiga lelaki berumur 37 hingga 67 tahun iaitu pemandu lori kontena turut ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, berdasarkan tangkapan serta rampasan dalam ketiga-tiga serbuan itu pihaknya kemudian membuat tangkapan susulan membabitkan dua individu termasuk lelaki berumur 45 tahun serta wanita 32 tahun yang bertanggungjawab dalam urusan dokumentasi kontena.

Zaini berkata, kedua-dua suspek serta pemandu lori kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Polis memandang serius pembanterasan kegiatan penyeludupan yang secara langsung memberi impak terhadap ekonomi negara, bagi kes ini sahaja sebanyak RM2,367,099.27 nilai kerugian termasuk RM1,902,293.91 taksiran cukai kastam.

“Operasi masih dijalankan secara berterusan dan masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan diminta menghubungi pihak polis untuk meningkatkan lagi usaha membanteras kegiatan ini di negeri ini,” katanya.