Anda di sini

Polis lupus mesin judi membabitkan rampasan RM180,000

Advertisement
 Sebahagian mesin judi yang dilupuskan membabitkan kes sejak 2005.
LUPUS: Sebahagian mesin judi yang dilupuskan membabitkan kes sejak 2005.

KOTA KINABALU: Polis melupuskan barangan serta mesin judi membabitkan nilai rampasan mencecah RM180,000 di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kesemua mesin judi yang dilupuskan adalah kes yang sudah diselesaikan sejak 2005 sehingga 2015.

"Bagi tempoh terbabit sebanyak 13 kertas siasatan membabitkan 47 individu ditahan sejak 2005 sehingga tahun ini.

“Kita melupuskan sejumlah 812 barangan termasuklah peralatan komputer merangkumi monitor, CPU, dan papan kekunci. Pelupusan juga melibatkan sebilangan kecil meja, telefon bimbit, peti cabutan bertuah serta komputer riba," katanya pada sidang media di sini semalam.

Zaini berkata, kesemua kes terlibat dalam kertas siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 sehingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Menurutnya pelupusan kali ini dijalankan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) seperti sebelumnya dengan mengikuti garis panduan secara e-waste yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

“Peralatan elektrik dan elektronik yang sudah tidak digunakan berpotensi membahayakan serta boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar jika tidak dikendalikan dengan baik berikutan barangan ini mengandungi beberapa bahan pencemar termasuk plumbum.

“Pihak polis akan menyerahkan barangan yang perlu dilupuskan kepada syarikat yang sudah dilantik untuk tujuan kitar semula,” katanya.

Advertisement