Anda di sini

Penyelia ladang dipenjara dan denda kerana terima wang

Advertisement
 Supardi (kanan) dibawa keluar dari kamar mahkamah.
BERSALAH: Supardi (kanan) dibawa keluar dari kamar mahkamah.

SANDAKAN: Seorang penjawat awam yang juga penyelia sebuah ladang di Kinabatangan, dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini selepas mengaku bersalah dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu ke atas Supardi Latif, 32, yang mengaku bersalah apabila pertuduhan alternatif dibacakan terhadapnya.

Tertuduh mengaku menerima sebanyak RM1,200 daripada seorang pengarah syarikat pembekalan di Sandakan pada 5 Mac 2017, yang mana wang itu dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya tanpa sebarang balasan.

Dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki turut dipenjara selama tiga hari dan didenda RM3,000 atau dua bulan penjara akibat cuba menyogok anggota keselamatan yang bertugas di Check Point dengan wang RM100.

Risfrickhat Risin didakwa menawarkan wang itu agar dilepaskan berikutan tidak memiliki lesen memandu selain membawa kenderaan lori yang tamat tempoh.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dua kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Faliq Basirudin.

Sementara itu, seorang guru besar dijatuhkan hukuman selama enam bulan penjara dan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara, masing-masing bagi tiga pertuduhan alternatif yang dikenakan keatasnya.

Hukuman penjara diarahkan berjalan serentak manakala jumlah keseluruhan denda adalah RM9,000.

Tertuduh, Brahim Zakaria telah mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan alternatif itu pada 27 Februari lepas di mahkamah yang sama.

Bagaimanapun hakim menetapkan satu tarikh bagi menjatuhkan hukuman kerana ketika itu Brahim diserang sakit jantung.

Ketiga-tiga pertuduhan itu melibatkan penyalahgunaan kumpulan wang sumbangan awam Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting Sandakan pada tahun 2016 dan 2017 yang mana pada ketika itu Brahim merupakan guru besar di sekolah itu.

Kesalahan dilakukan di sekolah itu pada 17 Mac 2017 melibatkan jumlah RM5,000, 14 Julai 2017 melibatkan RM6,000 dan 23 Disember 2016 melibatkan RM3,300. Kesemua wang itu adalah wang sumbangan awam bagi aktiviti murid sekolah itu.

Tertuduh dijatuhkan hukuman berdasarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu adalah alternatif kepada pertuduhan utama iaitu kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berikutan umur tertuduh sudah melebihi usia 50 tahun, hakim memberitahu tertuduh terlepas daripada hukuman sebat.



 

  • oleh
  • Advertisement