Anda di sini

Pembukaan semula prasekolah, tadika dan tabika: Ibu bapa, murid patuhi SOP ketat

Advertisement
 Kanak-kanak di Tadika Greeniekids, Afreena Hana Mohamad Helmi, 4, memakai perisai muka ketika memulakan persekolahannya ketika tinjauan pembukaan semula sesi prasekolah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya semalam. — Gambar Bernama
PATUHI SOP: Kanak-kanak di Tadika Greeniekids, Afreena Hana Mohamad Helmi, 4, memakai perisai muka ketika memulakan persekolahannya ketika tinjauan pembukaan semula sesi prasekolah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persis melentur buluh biar dari rebungnya, begitulah gambaran anak-anak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika memasuki prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang dibuka kembali di seluruh negara, mulai semalam.

Selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik COVID-19, pembukaan semula institusi ini menyaksikan setiap murid yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke kelas selain ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak setakat pintu utama.

Ceria bertemu rakan-rakan, mereka mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk jarakan sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.  

Guru besar sebuah tadika di Keramat, Kuala Lumpur, Salmiah Jusoh berkata persediaan bagi memulakan sesi pembelajaran telah dilakukan dua minggu awal sebaik sahaja tarikh pembukaan semula tadika diumumkan memandangkan murid perlu melalui kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kebiasaan baharu.

“Pihak kami cuba mematuhi sebaik mungkin SOP yang telah digariskan dan saya tengok kebanyakan ibu bapa dan murid teruja memulakan hari pertama sekolah dan walaupun dengan SOP baharu ini mereka dapat ikut,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Seorang bapa, Ahmad Syahir Izani Tajodin, 34, mengakui pada awalnya sedikit bimbang untuk menghantar anak ke tadika memandangkan penularan wabak COVID-19 masih belum berakhir, namun percaya SOP yang ketat oleh pihak sekolah mampu menanganinya.

“Seminggu sebelum masuk tadika dah beritahu pada anak untuk bersedia dan sudah cerita apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat, nampak dia dah faham dan lebih bersemangat untuk ke sekolah mungkin sebab bosan lama sangat duduk di rumah sebelum ini,” katanya.

Di JOHOR, tinjauan Bernama di beberapa tadika di Batu Pahat mendapati kesemua pengusaha mengikut peraturan dan SOP ditetapkan dengan murid yang hadir masing-masing memakai pelitup separuh muka dan melakukan jarakan sosial termasuk ketika sesi pembelajaran.

Dalam perkembangan di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata 631 prasekolah, tabika dan tadika dibenar beroperasi dengan 166 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai bilangan 337 kelas dan 7,845 murid manakala 465 buah tabika dan tadika swasta yang mempunyai bilangan pelajar seramai 17,738.

“Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah laksanakan semua persediaan untuk memastikan pelajar-pelajar kita hadir ke sekolah dalam satu suasana yang kondusif dan selamat untuk memulakan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) masing-masing,” katanya selepas melawat Prasekolah Sekolah Kebangsaan Jelutong di sini semalam.

Bagi tabika KEMAS di Bukit Mertajam. Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Pulau Pinang Shafinaz Ahmad berkata pembukaan semula itu membabitkan 6,665 murid namun pihaknya menjalankan sistem penggiliran hadir ke tabika kerana jumlah maksimum setiap kelas hanya 15 murid bagi mematuhi jarakan sosial.

DI KELANTAN, tinjauan Bernama ke Tabika Perpaduan PPR Kota Bharu mendapati pihak pengurusan mematuhi semua SOP ditetapkan dengan setiap tabika dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki hadir tiga hari seminggu.

DI KEDAH, tinjauan Bernama di Alor Setar mendapati rata-rata ibu bapa berpuas hati dan yakin dengan SOP dilaksanakan dan pihak pengurusan tadika, taska atau prasekolah telah menghantar senarai SOP kepada ibu bapa menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Aida Mustafa, 38, yang menghantar dua anaknya Muhammad Aisyar Razzan Razuwan, 6, dan Muhammad Aisy Razzan, 7, ke taska di Taman Rusa, Anak Bukit dekat sini berkata: “Semalam (kelmarin), saya tengok cikgu-cikgu bersihkan tadika dan serius dengan pematuhan SOP.

“Risau memang risau tetapi bila langkah pematuhan semua sudah diambil, kita doakan yang baik-baik sahaja. Buat masa ini jadual hantar mereka sama sahaja iaitu lima hari seminggu dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan paling lewat pun perlu ambil mereka sebelum 5.30 petang,” katanya.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saarani Mohamed berkata sebanyak 422 daripada 844 tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibuka semalam manakala selebihnya pada 15 Julai.

Tinjauan Bernama di Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Ipoh mendapati kesemua 60 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun yang kelihatan bersemangat dan teruja menghadiri kelas dikehendaki menghantar borang pengisytiharan kesihatan kepada pihak tadika itu sebelum memasuki premis bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pengetuanya Rohani Hasshim berkata borang itu mengandungi maklumat status kesihatan anak-anak serta ibu bapa mereka yang membolehkan kanak-kanak berkenaan mengikuti sesi pembelajaran di kesemua empat kelas di tadika tersebut bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

“Kita juga memastikan SOP dipatuhi dengan mengambil suhu kanak-kanak sebelum dan selepas kelas serta memastikan pemakaian cecair pembasmi kuman malah tempat duduk mereka juga dijarakkan manakala makanan pula kita sendiri menyediakannya selain ibu bapa boleh membekalkan makanan yang dimasak di rumah,” katanya. — Bernama

Advertisement