Anda di sini

Pembukaan sekolah secara berperingkat langkah terbaik dan bersesuaian

Advertisement

TAWAU: Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin sudah menetapkan pada 15 dan 22 Julai depan sebagai pembukaan semula sekolah bagi pelajar-pelajar bukan kelas peperiksaan awam.

Namun, pembukaan sekolah perlu dilakukan secara berperingkat seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam kenyataan medianya kelmarin, Dr Mohd Radzi menetapkan pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan murid sekolah rendah tahun 5 hingga 6 akan kembali ke sekolah pada 15 Julai. Manakala murid tahun 1 hingga 4 mereka akan bersekolah bermula 22 Julai.

Tinjauan dibuat terhadap pendapat penduduk di daerah ini, rata-rata menyambut baik dengan keputusan itu dan mereka faham dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

BASRI
BASRI

Pendidik, Basri Tukiman, 53, berkata, pembukaan sekolah secara berperingkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan satu langkah terbaik dan sangat bersesuaian.

"Hal ini berikutan pembelajaran yang sebelum ini dijalankan secara atas talian kurang berjaya dimana tidak semua kawasan mempunyai talian internet.

"Disamping itu, terdapat juga ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu mahupun pengetahuan untuk mendidik dan membimbing anak-anak semasa sesi pembelajaran atas talian di rumah," katanya.

Mengulas lanjut, pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan kesan positif terhadap penerimaan pelajar berbanding pembelajaran di atas talian kerana pelajar boleh bertanyakan soalan dan guru boleh menerangkan secara terperinci.

Beliau berkata, pihak sekolah harus memainkan peranan paling penting dalam mengambil langkah yang berkesan untuk menghalang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar di sekolah.

"Pentadbir dan guru hendaklah meneliti dan memahami SOP yang dikeluarkan KPM. Keselamatan pelajar adalah keutamaan para guru dan warga sekolah.

"Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengingatkan anak-anak untuk sentiasa menjaga keselamatan diri semasa berada di sekolah mahupun di luar sekolah," katanya.

NORLITAEVANI
NORLITAEVANI

Pendapat itu disetujui oleh Norlitaevani Ambar, 35, yang beranggapan kemampuan dan penerimaan pelajar untuk menerima pembelajaran dalam talian tidak begitu memberangsangkan.

"Kebanyakan pelajar kurang memberikan respon semasa proses pembelajaran dalam talian terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar.

"Kebanyakan pelajar tersebut mengakui tidak dapat menerima sepenuhnya pembelajaran dalam talian kerana selain masalah akses internet yang lambat, gangguan persekitaran juga membantutkan proses pembelajaran mereka," katanya.

Namun katanya, pihak sekolah perlu memastikan segala keselamatan dan SOP yang sudah digariskan oleh pihak kerajaan dibuat sebelum menerima kehadiran pelajar ke sekolah.

"Ibu bapa juga tidak mengambil ringan menyediakan semua peralatan keselamatan untuk anak mereka dan memahami SOP atau norma baharu yang sudah ditetapkan," katanya.

 

  • oleh
  • Advertisement