Anda di sini

Pembangunan sumber manusia, pengekalan bakat keutamaan Sabah

Advertisement
NIC SHAK
NIC SHAK

TANJUNG ARU: Pembangunan sumber manusia dan pengekalan bakat akan kekal sebagai keutamaan Kerajaan Sabah, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Nic Chak.

Nic yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, telah menyerahkan beberapa kanopi khemah dan kipas bagi memenuhi keperluan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 2.

Nic berkata, beliau memberi jaminan bahawa Ketua Menteri akan terus mengutamakan agenda pembangunan sumber manusia dan pengekalan bakat dalam usaha membina semula dan membangunkan Sabah.

"Dalam usaha membangun dan membina semula Sabah, pengekalan bakat dan sumber manusia itu penting. Kalau Sabahan sendiri berhijrah secara beramai-ramai ke Semenanjung Malaysia atau luar negara, siapa lagi yang tinggal untuk bantu Sabah?

"Sebab itu pasca pengambilan tampuk pimpinann Kerajaan Sabah pada Mei 2018, Warisan telah mengotakan janji mewujudkan dua Kementerian yang baharu. Antaranya adalah Kementerian Pelajaran dan Inovasi yang dipimpin oleh Dr. Yusuf Yacob.

"Ini dilakukan agar lebih banyak tumpuan dan perhatian boleh diberi kepada sektor pendidikan untuk membangunkan sumber manusia dan bakat-bakat Sabah. Kerajaan serius menangani masalah pengaliran sumber manusia dan bakat ke Semenanjung Malaysia dan luar negara. Ini masalah besar yang telah dihadapi oleh Sabah sejak beberapa dekad yang lalu.

"Kerajaan juga sedang cuba menuntut lebih banyak otonomi dari Kerajaan Persekutuan dan ini merupakan sebahagian daripada rancangan jangka masa panjang," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sabah mempunyai 'track record' yang kukuh sepanjang dua tahun yang lalu.

"Saya amat bangga kerana kerajaan hari ini dipimpin oleh seorang Ketua Menteri yang komited dalam mengotakan janji.

"Bukti pada tahun 2019, jumlah peruntukan untuk tujuan biasiswa dinaikkan sebanyak RM15 juta (sekitar 40%). Pada tahun 2018, hanya RM37 juta diperuntukkan, tetapi selepas ambil alih, kami naikkan kepada RM52 juta.

"Untuk tahun 2020 ini, Kerajaan Sabah akan kekalkan peruntukan sebanyak RM52 juta untuk tujuan biasiswa agar lebih ramai anak-anak Sabah mempunyai peluang melanjutkan pelajaran dan menyerlah bakat-bakat mereka. Kami tak nak bakat-bakat mereka disia-siakan. Bakat-bakat dan sumber manusia dari Sabah harus kita hargai.

"Selain itu, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Sabah yang berjudul Sabah New Deal, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi untuk tujuan melatih dan mencungkil bakat-bakat Sabah. Meskipun ekonomi terkesan akibat wabak COVID-19, kami berpandangan bahawa peluang untuk bakat-bakat Sabah menyerlah itu masih wujud. Jadi kami nak pastikan Sabahans dibantu sebaik-baiknya," katanya.

Nic merumuskan bahawa cara pentadbiran Sabah harus dicontohi oleh rakan-rakan sejawat di Semenanjung Malaysia.

"Jika kita lihat apa yang sedang berlaku di Semenanjung Malaysia, kita akan dapati mereka sering mempolitikkan isu-isu pendidikan. Sama ada melalui pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), peruntukan sekolah-sekolah vernakular, kaum ataupun agama.

"Tetapi kita di Sabah tidak mengalami masalah yang sebegitu rupa kerana Sabah dipimpin oleh seorang Ketua Menteri yang tidak rasis dan enggan menggunakan pendidikan sebagai alat politik. Sebab itu peruntukan diagih secara adil kepada semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

"Sementara peruntukan dan bantuan kepada sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama diteruskan tanpa henti, Kerajaan telah berjaya mengiktiraf UEC pada Oktober 2019 dan memulakan sumbangan dan bantuan kepada sekolah-sekolah lain. Semua murid-murid dan anak-anak Sabah dijaga tanpa prejudis atau berat sebelah.

"Saya rasa ini sesuatu yang ramai orang Semenanjung Malaysia iri hati. Kita mempunyai seorang Ketua Menteri yang diidamkan oleh ramai penduduk Semenanjung Malaysia," katanya.


 

Advertisement