Anda di sini

NASEC sedia bekerjasama bantu pembangunan sukan

Advertisement
 Shafie (kanan) menerima tajaan Want Want Group daripada Balwant (tengah) dan Mustakip.
TERIMA KASIH: Shafie (kanan) menerima tajaan Want Want Group daripada Balwant (tengah) dan Mustakip.

KOTA KINABALU: Majlis Penggiat Sukan Kebangsaan Malaysia (NASEC) sedia bekerjasama membantu membangunkan sukan di negara ini.

Setiausaha Agung NASEC, S Rajasegram berkata, badan itu mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam soal pembangunan sukan.

"Kami mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang ini (pembangunan sukan). Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana badan sukan termasuk majlis sukan negeri," kata Rajasegram ketika dihubungi kelmarin.

Terbaru, NASEC telah menjadikan sukan Jombola sebagai sukan angkatnya dan kini sedang giat mempromosikan sukan baharu produk Malaysia itu di di Sabah.

NASEC juga telah menjalinkan kerjasama dengan RDA Ventures Pte Ltd sebagai rakan strategik dan ianya membolehkan NASEC bergerak dengan lebih berkesan.

"Kerjasama dengan RDA juga banyak membantu merealisasikan Jombola dibawa ke Sabah. Saya percaya kerjasama dengan RDA akan membolehkan NASEC menjalankan lebih banyak aktiviti bukan sahaja dalam sukan tetapi juga aktiviti sosial lain.

"Baru-baru ini, NASEC dengan kerjasama RDA juga telah berjaya mendapatkan tajaan daripada Want Want Group,  Taiwan,  berupa lima mesin penjana bagi menghasilkan air anti septik untuk pesakit di lima hospital di Sabah," kata Rajasegram.

NASEC mewakili Want Want Group menyampaikan tajaan itu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di sini, dua hari lalu.

Emeritus NASEC, Datuk Balwant Singh Kler mewakili NASEC dan Want Want Group menyampaikan tajaan itu. Turut bersama ialah penyelaras sukan Jombola Warga Felda Sabah, Mustakip Liasnih.

Sebagai rekod, RDA Ventures yang berpusat di Singapura fokus dalam pelaburan rantaian solar fotovoltaik dengan penglibatan mengeluarkan sel fotovoltaik untuk membekalkan tenaga elektrik hijau kepada negara-negara ASEAN.