Anda di sini

Loji Rawatan Air Kinabenua mampu bekalkan 3 juta liter air sehari

Advertisement
 Bashir (tiga dari kiri) dan Mohd Dzulfaizal (kanan) ketika dibawa melawat Loji Rawatan Air Kinabenua bersama Muhamad Zulkeflee (tengah).
LAWAT: Bashir (tiga dari kiri) dan Mohd Dzulfaizal (kanan) ketika dibawa melawat Loji Rawatan Air Kinabenua bersama Muhamad Zulkeflee (tengah).

LABUAN: Projek menaik taraf Sistem Takungan Air Mentah di Mukasauk Loji Rawatan Air (LRA) Kinabenua, Kampung Sungai Bedaun dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Wilayah Persekutuan Labuan Muhammad Zulkeflee Yusof berkata, projek yang menelan kos kira-kira RM8 juta itu melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pendalaman takungan air yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti keperluan sumber air di wilayah ini.

"Projek menaik taraf takungan Loji Rawatan Air (LRA) di Kinabenua ini telah bermula pada hujung Oktober 2019 di bawah RMK-11 dan dijangka siap sepenuhya pada hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias ke loji berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan (MPPWPL) Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dan Ketua Kampung Sungai Bedaun Rosmani Puteh.

Takungan air yang dinaik taraf dengan keluasan 100 meter panjang dan 200 meter lebar serta kedalaman 5 meter berupaya membekalkan 3 juta liter air sehari (3mld) kepada pengguna selain mampu menampung bekalan air sehingga 14 hari sekiranya bekalan air dari Loji Rawatan Air Lawa di Gadong Beaufort Sabah menghadapi masalah.

Sementara itu, Bashir berharap projek itu akan dapat disiapkan mengikut jadual sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan projek yang menjadi keutamaan dan kepentingan rakyat Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kesungguhan kerajaan meluluskan peruntukan projek ini merupakan langkah ke hadapan kerajaan dalam membantu rakyat Labuan mendapatkan bekalan air secukupnya,” katanya.


 

Advertisement