Anda di sini

Latihan skuad takraw wanita Sabah lebih fokus di gelanggang

Advertisement
 Pemain sepak takraw wanita SUKMA Sabah kembali menjalani latuhan bersama di gelanggang KSKK.
TAKRAW WANITA: Pemain sepak takraw wanita SUKMA Sabah kembali menjalani latuhan bersama di gelanggang KSKK.

KOTA KINABALU: Skuad sepak takraw wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah kini boleh memberi lebih tumpuan kepada latihan selepas kembali menjalani latihan berpasukan di gelanggang sepak takraw Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK).

Ketua jurulatih, Daut Amba berkata, mereka telah dibenarkan dan sudah mula berlatih di gelanggang KSKK sejak 23 Jun lalu.

Seperti atlet sukan lain, pemain sepak takraw Sabah sebelum ini hanya menjalani latihan di rumah masing-masing kira-kira tiga bulan ekoran krisis COVID-19.

Hampir semua aktiviti luar termasuk bersukan tergendala apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini sejak 18 Mac lalu dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Beberapa aktiviti termasuk bersukan mula dibenarkan apabila PKP dilonggarkan kepada PKP Bersyarat (PKPB) pada Mei dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos.

DAUT
DAUT

"Suasana latihan kini sedikit berbeza kerana kita masih dalam PKPP dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial, tidak ada sentuhan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan cecair nyah kuman. Pemain yang tidak sihat tidak dibenarkan menyertai latihan dan diminta kekal di kediaman.

"Ada SOP sebelum, semasa dan selepas latihan yang perlu dipatuhi. Tentunya kami perlu pastikan semua SOP itu dipatuhi kerana ia adalah demi kesihatan dan keselamatan semua," kata Daut ketika dihubungi  di sini kelmarin.

Menurutnya, mereka juga terpaksa mengadakan latihan sesuai dengan pematuhan SOP dengan memberi lebih tumpuan kepada kecergasan, ketangkasan dan kemahiran asas.

"Apapun, dapat berlatih bersama semula di gelanggang adalah perkembangan baik. Kami boleh berlatih dengan lebih fokus dan dapat memantau latihan serta perkembangan pemain dengan lebih mudah berbanding sebelum ini di mana pemain berlatih sendiri di rumah dan jurulatih hanya memantau di maya," kata Daut yang juga pemain sepak takraw Sabah.

Daut berkata, seramai 11 pemain dalam senarai panjang Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA Sabah)  menjalani latihan setakat ini tetapi hanya lapan pemain akan disenarai pendek untuk mewakili skuad penuh sepak takraw wanita Sabah ke SUKMA 2020.

Dikatakan bahawa acara sepak takraw wanita SUKMA 2020 Johor hanya mempertandingkan acara beregu dan regu. Acara berpasukan tidak dipertandingkan.

SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya berlangsung pada 11-19 Julai ini bagaimanapun telah ditunda kepada 6-14 Mac disebabkan krisis COVID-19.

Sebagai rekod, skuad sepak takraw wanita adalah antara lubuk pingat Sabah pada SUKMA 2018 Perak di mana mereka menyumbangkan tiga pingat emas dan satu perak.


 

  • oleh
  • Advertisement