Anda di sini

Kisah bintang NFL Kaepernick dalam siri enam bahagian Netflix

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 11 September 2016 ini menunjukkan Colin Kaepernick #7 dan Eric Reid #35 dari San Francisco 49ers berlutut sebagai tanda protes sewaktu lagu kebangsaan AS dimainkan sebelum perlawanan menentang  Los Angeles Rams di gelanggang NFL mereka di Levi’s Stadium, Santa Clara, California. — Gambar AFP
SIRI ENAM BAHAGIAN NETFLIX: Gambar fail yang diambil pada 11 September 2016 ini menunjukkan Colin Kaepernick #7 dan Eric Reid #35 dari San Francisco 49ers berlutut sebagai tanda protes sewaktu lagu kebangsaan AS dimainkan sebelum perlawanan menentang Los Angeles Rams di gelanggang NFL mereka di Levi’s Stadium, Santa Clara, California. — Gambar AFP

BEKAS bintang NFL, Colin Kaepernick, yang melancarkan protes berlutut sewaktu lagu kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dimainkan untuk membantah kekejaman polis dan ketidakadilan kaum, akan menjadi subjek satu siri enam bahagian, umum Netflix baru-baru ini.

‘Colin in Black & White’ akan memberi tumpuan kepada zaman bekas pemain quarterback pasukan San Francisco 49ers itu di sekolah tinggi, masa pembentukan yang menjurus kepada kegiatannya sebagai aktivis sosial.

Kaepernick, yang tidak bermain dalam NFL sejak musim 2016 selepas dia memulakan pergerakan protesnya, akan muncul sebagai dirinya sendiri sebagai tukang cerita bagi siri itu, yang akan dibimbing oleh pembuat filem Ava DuVernay.

Projek itu, yang menyiapkan peringkat penulisan pada Mei lalu, menunjukkan bagaimana membesar sebagai kanak-kanak hitam bersama keluarga angkat putih memberi impak dalam perjalanannya ke NFL selain kegiatannya sebagai aktivis sosial.

“Kita terlalu kerap melihat cerita orang hitam dan kaum digambarkan menerusi lensa putih,” kata Kaepernick.

“Kita mahu memberi perspektif baharu kepada realiti berlainan yang dihadapi orang hitam.

“Kita menerokai konflik kaum yang saya hadapi sebagai lelaki hitam yang diangkat dalam komuniti putih pada zaman sekolah tinggi saya. Ia adalah satu penghormatan untuk menghidupkan cerita ini dalam kolaborasi dengan Ava untuk dilihat dunia.”

Kaepernick bermain selama enam musim untuk San Francisco, memimpin pasukan 49ers ke Super Bowl 2013, di mana mereka tewas kepada Baltimore.

Selepas perubahan kejurulatihan bagi pasukan, Kaepernick memilih untuk menamatkan kontraknya pada Mac 2017 tetapi sejak itu dia tidak menandatangani sebarang kontrak.

Pada September 2017, Presiden AS Donald Trump memburukkan lagi kontroversi berhubung protes berlutut dengan memanggil orang yang berlutut sewaktu lagu kebangsaan berkumandang sebagai “anak haram”.

Kematian lelaki kulit hitam tanpa senjata pada Mei lalu George Floyd dalam tahanan polis di Minnesota mencetuskan protes global berhubung kekejaman polis dan membawa pergerakan Black Lives Matter ke dalam profil yang lebih tinggi seperti apa yang diinginkan oleh Kaepernick.

Pesuruhjaya NFL Roger Goodell telah menyatakan liga itu terlalu perlahan dalam usaha menyertai pergerakan itu dan berkata dia terbuka kepada mana-mana kelab yang mahu menandatangani Kaepernick bagi musim 2020, yang dijadual bermula pada September.

“Dengan protes yang dia buat, Colin Kaepernick menyalakan perbincangan nasional tentang kaum dan keadilan dengan akibat yang luas bagi futbol, kebudayaan dan bagi dirinya sendiri,” kata DuVernay.

“Cerita Colon ada banyak untuk disebut tentang identiti, sukan dan semangat protes dan kecekalan yang tahan lama.”

Tiada tarikh pengeluaran diumumkan bagi projek itu. — AFP

Advertisement