Anda di sini

Kebenaran masuk warga asing ke Sabah perlu dikaji semula

Advertisement
ISMAIL
ISMAIL

TAWAU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam kenyataannya kelmarin sudah mula memberikan kebenaran kepada warganegara luar untuk memasuki Sabah tanpa menjalani ujian calitan (swab test) COVID-19.

Kebenaran itu turut memberikan kebenaran kepada pekerja asing warga China masuk ke Sabah sama ada melalui udara, darat mahupun laut.

Mereka hanya perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan dan mematahui prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Budiman Malaysia (BUDIMAN) Sabah Ismail Awang berpandangan keputusan Kerajaan Sabah membenarkan semua perjalanan masuk ke Sabah kepada pekerja warga asing dari Republik China perlu dikaji semula secara lebih teliti.

"Keputusan ini kelihatan tidak selari dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dimana sempadan antarabangsa negara masih lagi ditutup kepada negara luar," katanya.

Beliau berkata, sungguhpun mereka sudah melakukan ujian COVID-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari dan disahkan bebas wabak tetapi ianya masih memberikan risiko tinggi kepada penularan semula pandemik COVID-19 nanti.

"Hal ini kerana dalam masa tiga hari itu pelbagai kemungkinan boleh berlaku semasa tempoh perjalanan warga China ini masuk ke Sabah.

"Apatah lagi, pada waktu ini juga, data terkini menunjukkan kes terbaharu harian positif di negara kita adalah berpunca daripada kes import dan bukannya kes tempatan," katanya.

Menurutnya, keputusan ini mengundang kerisauan kepada rakyat Sabah. Kita perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di beberapa negara seperti Jepun yang telah mengalami gelombang kedua wabak disebabkan pembukaan pintu sempadan negara mereka kepada negara luar.      

Apakah kita benar-benar memerlukan khidmat pekerja asing warga China pada waktu ini dan apakah sektor ekonomi yang berkaitan sememangnya kritikal dan bergantung penuh kepada pekerja asing warga China untuk meneruskan operasi?
 
Saya juga berpandangan adalah lebih baik peluang pekerjaan yang dicadangkan untuk  diisi oleh warga China ini diberikan kepada warga tempatan terutamanya kepada mereka yang telah kehilangan pekerjaan sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.
 
Jika kerajaan Sabah tetap berhasrat membenarkan kemasukan pekeja warga China ini masuk ke Sabah, saya berharap SOP kuarantin selama 14 hari masih perlu dilaksanakan kepada mereka yang masuk ke Sabah.

RAHMAN
RAHMAN

Pandangan itu turut disepakati oleh Rahman Lompa, 50, yang menyatakan buat masa ini kerajaan Sabah tidak perlu terburu-buru memberikan kebenaran kepada warga asing masuk ke dalam negeri Sabah.

Beliau berkata, walaupun kadar positif di negeri Sabah sudah menunjukkan penurunan tetapi rakyat masih dalam keadaan berjaga-jaga dan perlu mematuhi SOP.

"Rakyat sudah menjalankan peranannya untuk mematuhi semua SOP termasuk sentiasa memakai pelitup muka dengan harapan negeri Sabah cepat bebas daripada wabak.

"Tetapi, bila kerajaan Sabah mula membawa masuk warga asing akan memberikan kegusaran kepada semua rakyat terhadap penularan wabak yang dibawa daripada luar," katanya.

Rahman berkata, kita sedia maklum tindakan kerajaan membawa masuk warga asing untuk merancakkan semula sektor ekonomi negeri tetapi kerajaan harus berfikir panjang sekiranya mereka masuk tanpa kuarantin.

"Kerajaan harus memperketatkan syarat kemasukan mereka ke dalam negeri ini termasuk kuarantin lebih lama supaya mereka betul-betul positif," katanya.

  • oleh
  • Advertisement