Anda di sini

Ikan laga liar berpotensi dipromosi sebagai ikan ternakan besar-besaran

Advertisement
 Ronald menyerahkan ikan laga kepada pengunjung, Azri pada program pelancaran kerjasama rakan strategik Jabatan Perikanan dengan Persatuan Ikan Laga Liar di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Ronald menyerahkan ikan laga kepada pengunjung, Azri pada program pelancaran kerjasama rakan strategik Jabatan Perikanan dengan Persatuan Ikan Laga Liar di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Ikan laga liar yang dahulu dikenali sebagai Ornamental Fish berpotensi menjadi industri baharu untuk dipromosi sebagai ikan ternakan secara besar-besaran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, pertandingan ikan laga liar secara dalam talian yang berlangsung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dinilai berdasarkan kecantikan dan warna tanpa melagakan ikan, telah meningkatkan nilai ikan laga hingga mencecah ribuan ringgit.

“Kita mahu menjadikan industri ikan laga liar bertaraf dunia sekali gus menjadi pengeksport utama selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kerjasama rakan strategik antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Persatuan Ikan Laga Liar Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata industri ikan hiasan kini menyumbang RM370 juta setahun.

Malaysia, katanya mempunyai 40 spesies ikan laga liar dan ada antaranya yang hibrid atau sudah dikacuk.

“Malaysia pada masa ini merupakan pengeluar ikan laga liar paling tinggi di dunia, (tetapi) Malaysia berada di tangga keempat selepas Singapura, Indonesia dan Thailand sebagai negara pengeksport ikan laga liar,” katanya.

Menurut kenyataan Jabatan Perikanan, Persatuan Ikan Laga Liar Malaysia kini mempunyai 15,000 pengikut di media sosial, berbanding hanya 3,000 orang pada tahun lepas. — Bernama

Advertisement