Anda di sini

Bomba sahkan tiada lagi mangsa di dalam bot terbalik

Advertisement
 Mohd Farid (kiri) bersama anggotanya membuat persiapan sebelum meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang masih hilang di muara Kuala Kemasin semalam. — Gambar Bernama
OPERASI SAR: Mohd Farid (kiri) bersama anggotanya membuat persiapan sebelum meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang masih hilang di muara Kuala Kemasin semalam. — Gambar Bernama

BACHOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengesahkan tiada lagi mangsa yang terdapat di dalam bot yang terbabit dalam tragedi bot terbalik dan karam yang kini telah mengorbankan lima mangsa dalam insiden Isnin lepas.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan jabatan itu, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata pihaknya telah melakukan dua kali selaman di kawasan dan dalam bot terbabit dan mendapati tiada lagi mangsa.

“Jika terdapat lagi arahan, kita bersedia untuk melakukan selaman buat kali ketiga untuk disahkan dan sehingga kini kita belum mendapat mana-mana arahan tersebut.

“Kita percaya tiga lagi mangsa yang belum ditemui itu berkemungkinan telah hanyut,” katanya kepada pemberita di Jeti Pendaratan Ikan Kuala Kemasin di sini, semalam.

Setakat ini, lima mangsa yang meninggal dunia telah ditemui sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an dan Ahmad Syafiq Che Alim, 30 tahun.

Tiga lagi mangsa yang belum ditemui ialah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Sementara itu, dalam kejadian jam 8.00 malam itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian terbabit, dengan kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Nazri Ishak turut mengesahkan bot nelayan yang terbabit dalam kejadian itu mempunyai lesen Kelas A yang masih sah sehingga Jun tahun hadapan.

“Bot itu juga menjalankan perkhidmatan membawa penumpang bagi tujuan menangkap ikan dan mencandat sotong yang dibenarkan serta mempunyai jaket keselamatan seperti yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pengusaha bot nelayan yang mahu membawa penumpang perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemilik kapal mematuhi arahan yang dikeluarkan dan membawa penumpang mengikut kapasiti yang dihadkan. — Bernama

Advertisement