Anda di sini

BMW Motorrad Malaysia perkenal jentera BMW S 1000 XR terbaharu

Advertisement
 Harga permulaan bagi BMW S 1000 XR ialah RM121,500.00.
TERUNGGUL: Harga permulaan bagi BMW S 1000 XR ialah RM121,500.00.

KUALA LUMPUR: BMW Motorrad Malaysia telah mengambil peluang pada hari ini untuk memperkenalkan BMW S 1000 XR terbaharu iaitu sebuah revolusi dalam segmen motosikal Kembara Sport.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, setiap langkah yang diambil oleh BMW Motorrad adalah ke arah inovasi yang belum pernah diterokai.

“BMW berbangga dengan pencapaian hasil kejuruteraan yang jitu untuk membawakan pengalaman tunggangan yang terunggul di atas jalan raya, dan di atas litar lumba.”

“BMW S 1000 XR menaikkan lagi tanda aras yang telah dipahat dengan kelincahan dan versatiliti yang mengagumkan, di samping membuka dimensi yang baharu dalam segmen Kembara Sport,” katanya.

Menurut Ketua BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley pula, BMW S 1000 XR cemerlang dalam prestasi berjarak jauhnya ekoran penurunan berat sebanyak 10kg. Varian tersebut juga menampilkan sifat keagresifan serba sporty yang sinonim dengan barisan motosikal RR oleh BMW.

“BMW S 1000 XR terbaharu mempelawa para peminat motosikal untuk terus mencabar batasan. Varian baharu ini membawakan karakteristik yang lebih ringan, laju dan versatil demi prestasi berjarak jauh yang lebih baik, contohnya sistem ekzos serba ringan yang baharu, serta suspensi yang menampilkan Flex Frame sekali gus menaik taraf aspek ergonomik varian ini secara signifikan,” katanya.

BMW S 1000 XR dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan kapasiti berjumlah 999cc dan output maksimum lebih tinggi berjumlah 121 kW / 165 kk pada paras 11,000rpm, serta ia mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 200 km/j.

Jentera baharu ini turut hadir dengan tork maksimum berjumlah 114Nm pada paras 9,250rpm, ia mengguna pakai 6 liter bahan api bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100km.

Motosikal kembara sport terbaharu ini juga disediakan bersama aksesori-aksesori opsyenal seperti Panier, Kompartmen Atas dan Beg Fabrik untuk muatan, Kerangka Laga Bergentian Karbon, komponen ‘M Machined’ dan Perisai Angin Rendah, Tinggi atau Bertinta.

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW S 1000 XR terbaharu bermula daripada RM1,969.00 setiap bulan, manakala BMW R 18 First Edition terbaharu bermula daripada RM2,525.00 setiap bulan. Ia berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 5 tahun.

Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga permulaan (di atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) bagi BMW S 1000 XR ialah RM121,500.00

Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmwmotorrad.com.my/en/service/services/warranty.html.

  • oleh
  • Advertisement