Anda di sini

BERSATU, PAS tidak akan bertanding dalam PRN12 

Advertisement
Muhyiddin bersama para pemimpin parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan.
Muhyiddin bersama para pemimpin parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak akan bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan datang. 

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata perkara ini dijamin oleh Presiden BERSATU sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat semua pemimpin 12 parti yang membentuk kerajaan Persekutuan sekarang di Putrajaya, pada Rabu lepas.

“Meskipun kedua-dua parti mempunyai cawangan di Sarawak namun mereka tidak akan bertanding di Sarawak dalam PRN12 nanti. 

“Jaminan ini bukan sahaja memberi laluan jelas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melawan pembangkang tetapi juga petanda baik bahawa parti komponen Perikatan Nasional (PN) menghormati komitmennya membantu GPS pada PRN nanti,” katanya dalam kenyataan. 

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, Muhyiddin bersama pemimpin parti yang lain turut yakin memenangi pertarungan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Daripada pemantauan saya mengenai sejarah dan personaliti terlibat dalam parti politik di Semenanjung Malaysia, terutama antara BERSATU dan UMNO, dan pelbagai parti komponen yang membentuk PN di Sabah, ia adalah gabungan politik yang sihat. 

“Bagaimanapun, saya yakin teknikal terperinci dalam kalangan gabungan PN ini  akan dapat diselesaikan dan lebih cepat lebih baik,” ujarnya. 

Jika parti politik di Semenanjung Malaysia dan Sabah tidak dapar menangani perbezaan personaliti dan sejarah mereka sebelum pertarungan, terdapat kemungkinan bahawa PN akan tewas. 

Satu faktor sama yang mencantumkan parti dalam PN bersama adalah persamaan mereka menolah Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi sebahagian daripada gabungan. 

Menurutnya lagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi GPS pada mesyuarat tersebut menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengetuai PRU15. 

Abang Johari turut memaklumkan, GPS bersama empat parti komponen sudah bersedia untuk mengharungi PRN12 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa. 

Empat parti komponen GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). 

Advertisement