Anda di sini

Ancaman wabak Swine Influenza pada ternakan babi, MAFI ambil langkah pencegahan awal

Advertisement

PUTRAJAYA  : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengambil langkah pencegahan awal dengan terus mengambil sampel di semua 614 ladang babi komersial di seluruh negara berikutan penemuan virus G4 EA H1N1 yang baru dikenal pasti di China baru-baru ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan berkata, pensampelan yang akan diuji di makmal DVS itu juga membabitkan sampel babi hutan dan larangan pengimportan babi serta produk babi di pintu-pintu masuk negara menerusi kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Jika terdapat sampel positif, ujian lanjut untuk menentukan strain H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1 akan dijalankan,”

“Sehingga kini, DVS telah menjalankan survelan untuk mengesan SIV H1N1 dan H1N1pdm09 pada babi komersil dan babi hutan menerusi program survelan kebangsaan dan penemuan survelan mendapati terdapat sampel yang seropositif kepada SIV H1N1.

“Bagimanapun ternakan babi yang seropositif tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan tidak berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada manusia dan keputusan ujian H1N1pdm09 adalah negatif ke atas semua sampel,”katanya.

Pada masa sama,  DVS akan meneruskan kempen kesedaran awam kepada penternak babi mengenai penyakit babi dijalankan di semua negeri sebagai antara tindakan pencegahan penyakit rentas sempadan daripada memasuki ke dalam negara.

“Penternak diminta untuk mempertingkatkan biosekuriti ladang melalui tindakan pencegahan seperti tidak melawat ladang babi yang terjangkit. Latihan kesiapsiagaan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti simulasi bagi menguji keberkesanan pelan kontingensi DVS dalam menangani sesuatu wabak penyakit,”

Dalam pada itu, Pihak MAFI akan bertindak sebagai penyelaras dengan pelbagai agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memperkemaskan aspek kawalan bersepadu bagi menghalang kemasukan/penularan penyakit.

Sebagai rekod,  industri babi di Malaysia pada masa ini mempunyai populasi sebanyak 1,748,547 ekor bernilai RM 5 biliion yang diternak di 614 buah ladang komersil. Pada masa yang sama, terdapat lebih kurang 5,000 orang pekerja terlibat secara langsung di dalam industri ternakan babi.

Swine Influenza virus H1N1 (SIV H1N1) adalah virus avian influenza yang telah beradaptasi dan bermutasi menjadi virus babi. Terdapat 3 strain H1N1 yang telah dikenalpasti iaitu SIV H1N1, H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1.

SIV H1N1 adalah virus influenza yang biasa dijumpai dalam babi dan sangat endemik dikalangan negara pengeluar babi di dunia seperti Amerika, Mexico, dan China. Virus ini menyebabkan jangkitan pada babi dengan kadar morbiditi yang tinggi tetapi kematian yang rendah. Virus ini juga sangat hos spesifik dan jarang menyebabkan jangkitan pada manusia.

Pada tahun 2009, virus influenza swine subtip yang baharu, iaitu novel 2009 H1N1 Pandemic (H1N1pdm09 virus) dijumpai pada manusia di negara Mexico. Virus H1N1pdm09 ini mempunyai kandungan genetik yang berbeza dimana strain ini sangat merbahaya iaitu bersifat zoonotik dan boleh menjadi pandemik.

Walaupun strain H1N1pdm09 ini bersifat zoonotik dan berpotensi pandemik, tetapi strain ini masih dianggap kurang berbahaya kerana boleh dikawal melalui pemberian vaksin “seasonal flu” H1N1 pada manusia.

Virus G4 EA H1N1 yang baru dikenalpasti di China yang dilaporkan oleh beberapa akhbar adalah merupakan hasil mutasi strain H1N1pdm09 yang bersifat lebih patogenik dan berbahaya serta tidak boleh dicegah melalui vaksin sedia ada.
 

  • oleh
  • Advertisement