Anda di sini

500 peniaga di Pasar Umum Sandakan hadir taklimat SOP COVID-19

Advertisement
 Sundusin memberi taklimat kepada para peniaga Pasar Umum Sandakan.
TAKLIMAT: Sundusin memberi taklimat kepada para peniaga Pasar Umum Sandakan.

SANDAKAN:  Lebih 500 orang peniaga Pasar Umum Sandakan hadir sesi taklimat Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) bagi pencegahan penularan wabak COVID-19.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Sandakan Sundusin Nganro berkata, para peniaga di Pasar Umum Sandakan amat berkerjasama dengan baik kepada pihak berkuasa dalam memastikan kelancaran sesi taklimat di hadapan pintu utama pasar berkenaan.
 
"Sesi taklimat diadakan bagi memastikan semua peniaga di Pasar Umum Sandakan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya selepas memberi taklimat kepada para peniaga di pasar itu.

Beliau berkata, rata-rata peniaga di pasar itu memberi maklum balas positif dan amat berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan termasuk Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr. Johari Awang Besar yang membenarkan pembukaan awal pasar ini.

"Seramai 502 peniaga di Pasar Umum Sandakan telah menjalani saringan COVID-19 dan hanya seorang dilaporkan positif," katanya.

Beliau berkata, ekoran itu pihaknya telah menutup sementara pasar berkenaan bagi tujuan nyahkuman atau disinfeksi yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Sandakan bersama MPS.

“Pasar Umum Sandakan akan dibuka semula bermula jam 10 malam ini (Khamis),” katanya.

Beliau menegaskan operasi pemantauan akan terus dijalankan dari masa ke semasa oleh pihak berwajib dalam memastikan semua peniaga di pasar itu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sundusin menasihati para peniaga agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha mencegah penularan COVID-19 di pasar berkenaan.

Advertisement