Anda di sini

19 individu ditahan sertai parti liar di kediaman mewah

Advertisement
 Kesemua suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dalam serbuan itu.
TAHAN: Kesemua suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dalam serbuan itu.

TAWAU: Seramai 19 individu termasuk lapan wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan parti liar dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah kediaman mewah di Taman Nordin, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sebaik menerima maklumat dan aduan orang awam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membuat serbuan keatas kediaman terbabit pada jam 8.30 pagi.

"Dalam serbuan itu, pihak polis berjaya menahan kesemua suspek yang terdiri daripada 17 warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 21 hingga 34 tahun.

"Hasil pemeriksaan ujian air kencing, kesemua mereka juga didapati positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine, namun pihak polis tidak menemui sebarang dadah di kediaman terbabit," katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek terbabit dengan bayaran RM1,200 sehari.

Menurutnya, semasa serbuan itu juga mereka didapati berkumpul di premis berkenaan untuk berhibur, namun gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP selain gagal mengamalkan penjarakan sosial.

"Tindakan mereka berkumpul untuk berhibur itu bagaimanapun melanggar peraturan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Peter berkata, semua suspek turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Peraturan 3 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 atas kesalahan ingkar PKPP.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala suspek bukan warganegara ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, bagi suspek lelaki direman empat hari manakala suspek wanita tiga hari bermula kelmarin," katanya.

__alt__
  • oleh
  • Advertisement