Anda di sini

Unimas tawar nombor pendaftaran khas, boleh dibeli secara eksklusif

Advertisement
Kadim (kiri) menyerahkan plat kenderaan rasmi Unimas iaitu UNIMAS8 kepada Sulong semasa majlis pelancaran, yang diadakan hari ini.
Kadim (kiri) menyerahkan plat kenderaan rasmi Unimas iaitu UNIMAS8 kepada Sulong semasa majlis pelancaran, yang diadakan hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Buat julung kalinya orang ramai, warga Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan para alumni universiti ditawarkan peluang keemasan untuk mendapatkan nombor pendaftaran khas UNIMAS melalui kaedah bidaan.

Unimas dalam kenyataan hari ini berkata, nombor plat khas untuk kenderaan itu akan bermula dengan abjad "UNIMAS" diikuti dengan rangkaian nombor pilihan dan hanya boleh dibeli ekslusif dalam sistem UNIMAS8.

"Bidaan nombor plat khas "UNIMAS" dibuka mulai 12 tengah hari pada 1 Julai 2020 dan setiap bidaan akan ditutup selepas tujuh hari kemudiannya.

"Peluang ini hanya sekali sahaja dalam sejarah penubuhan Unimas dan moga ia bermanfaat serta menjadi legasi dan antara koleksi kenangan yang istimewa untuk dimiliki," menurut kenyataan.

Menurut universiti, nombor yang ditawarkan secara bidaan bermula dengan UNIMAS 11 hingga UNIMAS 9999 dengan harga terendah RM350, RM888, RM1,500, RM2,000, RM2,500 dan RM6,000 mengikut kategori yang berbeza iaitu Semasa, Istimewa, Popular 4 Digit, Popular 3 Digit, Popular 2 Digit dan Menarik.

Sehubungan itu satu majlis pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UNIMAS diadakan di Rumah Universiti, hari ini yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, timbalan-timbalan naib canselor, pendaftar, ahli jawatankuasa Eksekutif, wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengurus dan wakil Bank Rakyat serta Maybank.

Majlis pelancaran yang dirancang diadakan pada Mac lalu namun telah ditangguhkan serta diadakan dalam kapasiti lebih kecil bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Ketua Endowmen dan Wakaf, Dayang Nor Hajijah Awang Daud di talian 082-581231 atau 581918, selaku bahagian yang menguruskan tawaran dan bidaan melalui UNIMAS8.

Selain itu mereka yang berminat boleh melayari www.unimas.my/unimas8 untuk mula mendaftar terlebih dahulu sebelum meneruskan proses bidaan.

Sebarang persoalan atau bantuan boleh juga di e-melkan ke [email protected].

Advertisement