Anda di sini

Syarikat didenda RM100,000, gagal pastikan keselamatan pekerja

Advertisement
 

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau 12 bulan penjara terhadap sebuah syarikat selepas pengurus besarnya yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah atas dua kesalahan gagal mempraktikkan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya.  

Bagi pertuduhan pertama, Sabah Softwoods Berhad didakwa gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada pekerjanya dengan tidak mengadakan penyeliaan semasa membuat kerja kimpalan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, syarikat itu juga gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada pekerjanya dengan tidak mengadakan Sistem Kerja Selamat yang lengkap untuk kerja kimpalan secara am sebagaimana yang perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa membuat kimpalan.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 gagal bayar penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, pada 13 Jun 2018, seorang daripada pekerja syarikat berkenaan maut akibat renjatan elektrik.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah Mohd Fairul Azwan Ismail dan Mohd Nasir Fi'i manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement