Anda di sini

Singgah melihat pameran Disbudpar Belitung Timur

Advertisement
 

SELEPAS menikmati kopi di Manggar, kami diajak singgah di Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (Disbudpar) Belitung Timur. Jangan khuatir, ini salah satu kisah perjalanan ke pulau Belitung, provinsi Bangka Belitung, Indonesia, jauh sebelum wabak COVID-19 meluluhlantakkan ekonomi dunia.

Jika ingin tahu sejarah dan budaya masyarakat di Belitung Timur, jangan lupa singgah ke Dispudpar Beltim. Mampirlah walau sebentar, kata seorang rakan yang banyak tahu mengenai daerah itu. Pulau Belitung adalah sebuah pulau yang terletak di antara pulau Jawa dan Pulau Sumatera.

 Timah yang belum diproses.
KOMODITI UTAMA: Timah yang belum diproses.

Belitung Timur? Apa yang terbayang di minda kita, mungkin hanya Laskar Pelangi. Replika SD Muhammadiyah yang dijadikan salah satu lokasi filem Laskar Pelangi  yang dibuat berdasarkan novel karya Andrea Hirata masih menjadi salah satu destinasi popular di Belitung Timur.

Belitung Timur juga melahirkan dua tokoh paling terkenal di Indonesia iaitu Yusril Ihza Mahendra, salah seorang peguam terkenal di Indonesia dan pernah menjadi menteri. Seorang lagi ialah Basuki Tjahaja Purnama, yang ingin dikenali sebagai BTP tetapi orang lebih mengenalinya sebagai Ahok, mantan Gubernur Jakarta.

Padahal, Belitung Timur memiliki kisah yang lebih banyak lagi. Sebaik tiba, kami diperkenalkan dengan biji timah mentah yang masih belum diproses. Biji Timah adalah salah satu komoditi  utama Belitung.

 Bebatuan yang mengandungi timah.
SUMBER ALAM: Bebatuan yang mengandungi timah.

Melalui kunjungan ini kami dapat membezakan timah yangg sudah diproses dan timah yang masih mentah. Timah yang masih mentah warnanya hitam manakala timah yang sudah dilebur, warnanya akan berubah menjadi putih atau perak.

Menurut informasi yang diberikan oleh staf Disbudpar kepada kami, biji timah dari Belitung ini diekport ke Korea dan Singapura dan negara-negara lain yang memproduksi barangan elektrik.

Selepas timah, kami juga diberikan taklimat mengenai lada, yang  menjadi salah satu hasil utama Belitung dan diakui ketahanannya antara lima hingga 10 tahun.

 Penulis bersama pegawai Disbudpar Belitung.
KENANGAN: Penulis bersama pegawai Disbudpar Belitung.

Pernah rasa kopi belitung? Jika belum berkunjunglah ke Manggar, kata pemandu pelancong kami sambil menunjukkan kopi di Muzium Kopi.

Sebenarnya, Manggar memang terkenal sebagai Kota 1001 Warung Kopi pernah mencipta satu rekod di Indonesia sebagai tempat minum kopi serentak yang disertai seramai 17,070 peserta pada tahun 2009.

Keperluan kopi di kalangan masyarakat Belitung sangatlah tinggi, sehingga ia tidak mampu memenuhi permintaan pasar di Belitung. Mungkin itulah sebabnya kita dapati kopi yang digunakan di Belitung, biasanya didatangkan dari Lampung, tetapi ramuannya tetap seperti Kopi Belitung yang asli.

 Monyet tarsius terkecil di dunia.
TERKECIL: Monyet tarsius terkecil di dunia.

Walaupun cuma sebentar, kami sempat melihat beberapa haiwan semulajadi. Paling menonjol ialah buaya yang diletakkan dalam kolam, dan ditutup dengan kawat.

Kononnya, buaya muara boleh mencapai usia yag 100 tahun dan panjang 10 hingga 11 meter. Tetapi buaya yang kami lihat itu, mungkin hanya sepanjang 3 meter kerana usianya mungkin belum 10 tahun.

Kalau ada yang masih ingat filem Laskar Pelangi, ada satu babak dalam filem itu, salah satu watak penting, Lintang bertemu buaya ketika dalam perjalanan ke sekolah.

 Pelamin Melayu Belitung.
PELAMIN: Pelamin Melayu Belitung.

Tetapi yang paling menarik adalah monyet terkecil di dunia yang dinamakan tarsius. Ini pertama kali saya melihat tarsius dari dekat. Haiwan ini boleh memutar lehernya hingga 180 darjah. Matanya besar dan hanya menutup matanya ketika makan. Makanannya pun hanya serangga. Kini tarsius ini makin jarang ditemui dan terancam pupus.

Pada suatu masa dahulu, Belitung adalah jalur perdagangan penting di Asia Tenggara. Sebab itu, kita dapat melihat banyak barangan antik, peninggalan dari kapal-kapal yang tenggelam. Dari kapal-kapal yang karam itu, penyelam menemui barangan yang berusia ratusan tahun dari zaman dinasti Tang dan Dinasi Sung.

 Begini cara susunan hidangan untuk acara makan bedulang.
PENUH ISTIADAT: Begini cara susunan hidangan untuk acara makan bedulang.

Saya sempat juga melawat pameran yang memperlihatkan adat perkahwinan melayu Belitung. Di sana kita dapat melihat alat dan kelengkapan perkahwinan seperti baju pengantin lelaki dan perempuaan, pelaminan Melayu Belitung dan makanan yang dihidangkan dalam acara makan bedulang.

Makan Bedulang adalah makan bersama sama dengan lauk pauk yang diletakkan dalam dulang yang ditutup tudung saji. Upacara ini memang memiliki nilai budaya yang tinggi kerana menerapkan budaya saling menghormati misalnya ketika makan, orang yang lebih tua lebih dahulu dipersilakan menyantap makanan disusuli oleh  orang yang muda.

Memang banyak lagi bahan pameran yang hanya sempat dilihat sekilas dan tidak sempat ditanyakan lebih lanjut seperti antu bubu, dan permainan tradisional melalui belitung. Masa terasa agak singkat kerana kami perlu bergegas pulang melalui Tanjung Pandan.

 Salah satu alat muzik tradisi Melayu Belitung.
TRADISI: Salah satu alat muzik tradisi Melayu Belitung.
Advertisement