Anda di sini

Pesta jigging ikan mega di badai gelora

Advertisement
 Suparie berjaya menaikkan seekor kertang mega hampir 10 kilogram.
KERTANG: Suparie berjaya menaikkan seekor kertang mega hampir 10 kilogram.

TEPAT jam 7.30 malam jangkar dilabuhkan di lubuk pertama trip bulan gelap perairan laut Kudat dan ketika kapten mematikan enjin kapal, semua pemancing yang sudah bersedia berlumba-lumba melabuhkan umpan ke dasar laut, seolah-olah melepaskan rindu menarik ikan selama kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

Paparan kedalaman lebih 100 meter tertera di skrin mesin elektrik dengan jatuhan batu ladung 2kg berumpankan hirisan ikan selayang dan hirisan ikan kayu membuat tali utama tegak tidak dihanyut arus deras.

Trip pasca PKP kali ini disertai 12 pemancing dari Geng Perasap Anglers diketuai Suparie, Atan, Hatta, Hj. Adnan, Zaharudin dan Pak Chad. Sementara dua orang jigger dari Team Paris diketuai Sahril Sah dan Rudy serta dari Team 360 Anglers Keningau di ketuai Pyanz, Sabaran, Jamal dan Boy.

 Rudy (kiri) dan Sahril Sah (kanan) berpuas hati dengan hasil jigging tenggiri bagak.
RAJA JIGGING: Rudy (kiri) dan Sahril Sah (kanan) berpuas hati dengan hasil jigging tenggiri bagak.

Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa diringi alunan ombak dan suasana terasa sunyi seketika. Semua pemancing tenang menunggu sambaran ikan dasar sambil menghiris umpan ikan dan sotong.

Sementara menunggu ikan meliggan umpan, Rudy yang duduk di belakang kiri kapal bersama Sahril dan disertai Suparie mencuba teknik jigging slow pitch di belakang kapal.

Henjutan demi henjutan joran dilakukan tanpa henti dan Rudy mendapat sambaran pertama seekor ikan Cupak@ Bigeye Travelly berskala 5kg dikuti Suparie, Sahril dan Boy yang turut menjigging di sebelah depan kanan kapal.

 Sebahagian dari Geng Perasap Angler, 360 Angler Keningau dan Team PARIS mempamerkan hasil jigging di lubuk Kerisi Bali.
KAMI BERJAYA: Sebahagian dari Geng Perasap Angler, 360 Angler Keningau dan Team PARIS mempamerkan hasil jigging di lubuk Kerisi Bali.

Aktiviti jigging semakin rancak mendapat sambaran sang Cupak yang seolah kelaparan metaljig menaikkan semangat Kapten Masdin dan anak kapal Dali, Zaharuddin Haji Adnan, Pyanz, Sabaran, Jamal, Hatta, dan penulis menyertai aktiviti jigging.

Sambaran demi sambaran cupak dinaikkan diringi jeritan mesin letrik kesemua pemancing bottom menaikkan Kerisi Bali mega @ Pristipomoides Multidens dari keluarga Lutjanidae.

Selepas sejam giliran tenggiri berskala 5.2kg berjaya dinaikkan Jamal dan diikuti Rudy, Atan,Hatta, Suparie, Dali masing-masing bersaiz 5kg hingga 10kg.

 Atan dengan hasil jigging dua ekor tenggiri mega.
HASIL JIGGING: Atan dengan hasil jigging dua ekor tenggiri mega.

Kesemua pemancing cukup berpuas hati dengan hasil kejayaan menaikkan banyak ikan Cupak, Tenggiri @ Scomberomorus dan kerisi bali dan kerapu mega dimalam pertama dan hari pertama di lubuk pertama kedua dan lubuk ketiga di sebelah pagi.

Menjelang tengahari selepas makan tengahari kapten membawa berpindah ke lubuk Kertang di kedalaman 120m hingga 250m.

Apabila kedudukan kapal tepat di lubuk sasaran, kesemua pemancing terus melabuhkan umpan dengan harapan mendapat sambaran penghuni dasar.

Beberapa ketika arus dasar mulai deras dan langit kelihatan mulai mendung diringi angin mulai kencang dan ombak mulai beralun tinggi. Tiada sambaran penghuni dasar.

Hujan mulai turun diringi angin kencang dan ombak mulai membadai. Semua pemancing yang tadinya cukup meriah, seorang demi seorang masuk ke dalam kabin.

Badai ombak terus menggila semalaman sehingga kepagi hari. Menjelang tengahari cuaca mulai sedikit reda namun ombak masih membadai.

Kapten tidak berlengah terus membawa kami berpindah kembali ke lubuk pertama dan kedua menyambung aktiviti jigging dan bottom sehingga keesokan pagi sebelum trip pasca PKP ditamatkan.

Menjelang jam 9.00 pagi kami belayar pulang dan kira-kira jam 1.50 petang tiba dengan selamat di jeti Kudat.

Semasa dalam pelayaran balik barulah kami tahu, rupanya ribut malam Ahad turut melanda kawasan pantai barat dan mengakibatkan beberapa kawasan banjir kilat termasuk daerah Kota Belud, Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort. - Artikel sumbangan Arshad Hj Hussin.

Advertisement