Anda di sini

Peniaga dipenjara kerana rasuah polis

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Seorang peniaga lelaki dijatuhi hukuman penjara sepuluh hari dan denda RM50,000, atau dua bulan penjara jika gagal membayar, oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merasuah seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP).

Hakim Nixon Kennedy Kumbong memutuskan demikian terhadap Muhammad Firdaus Chai Abdullah, 57, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca terhadapnya. 

“Mahkamah mengambil kira tempoh reman selama tiga hari yang dikenakan terhadap tertuduh. Tertuduh dengan ini menjalani hukuman penjara selama tujuh hari mulai hari ini,” ujar Nixon semasa prosiding.

Tertuduh juga dilaporkan membayar denda tersebut. 

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memberi RM10,000 kepada ASP Norman Chendan Philip Picha Rumpang sebagai suapan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kesalahan itu didakwa dilakukannnya pada 4 Februari lalu, jam 10 pagi di hadapan kedai milik bapanya di Jalan Bandar Serian, Kampung Cina. 

Berdasarkan keterangan kes, semasa pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap kedai milik bapanya, tertuduh mengeluarkan beberapa kotak rokok yang tidak dibayar cukai dan mengaku rokok tersebut adalah miliknya. 

Tertuduh seterusnya mengambil wang dari dalam keretanya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan dirinya daripada dikenakan tindakan undang-undang. 

Menurut laporan terdahulu juga, semasa pemeriksaan dibuat, pihak berkuasa telah menjumpai 154 karton rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai dari kedai tertuduh.

Dalam rayuan pengurangan hukuman, tertuduh melalui peguamnya, Lim Lian Kee memohon agar tidak dikenakan hukuman berat berikutan dia hanya cuba membantu perniagaaan bapanya, selain tidak mahu bapanya yang uzur dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 (1)(a) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM, Miller Jawoi. 
 

Advertisement