Anda di sini

JHL sukar halau gajah kembali ke habitat

Advertisement
 Antara gajah yang bergerak dalam kumpulan kecil di ladang.
TERPISAH: Antara gajah yang bergerak dalam kumpulan kecil di ladang.

LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) di sini akan menumpukan penugasan dalam menghalau sekumpulan gajah Pygmy Borneo yang masih dikesan berada di kawasan perumahan peneroka Felda Sahabat Anjung Teduh, Tungku.

Menurut Pegawainya Silvester Saimin, petugas menghadapi kekangan untuk mengawal dan mengusir kumpulah-kumpulan gajah yang dianggar lebih 60 ekor termasuk enam yang berada di kawasan penempatan.

Katanya, beliau berharap sehingga hujung minggu enam ekor yang terpisah dari kumpulan mereka dapat kembali agar proses pengusiran ke habitat sukses.

SILVESTER
SILVESTER

"Selain kekurangan kakitangan, kami menghadapi masalah penugasan yang bekerja ketika cuaca musim hujan.

"Penugasan ini turut memberi cabaran kerana keberadaan gajah yang berpisah-pisah di dalam ladang termasuklah enam dikesan di kawasan penempatan," katanya di sini, semalam.

Silvester berkata, selain mengawal pergerakan tiga kumpulan gajah, keutamaan diberi bagi memastikan enam ekor haiwan dilindungi itu tidak terus menceroboh kawasan perumahan peneroka Felda.

Enam ekor gajah itu dilaporkan terpisah dari kumpulannya dan dikesan menceroboh kawasan perumahan pada waktu malam.

Pada pertengahan Mei lalu, JHL telah menjejaki 60 ekor gajah yang berada sekitar kawasan ladang Felda Sahabat yang keluar dari habitatnya di Hutan Rizab Hidupan Liar Tabin.

Silvester mendedahkan kumpulan gajah yang ditemui itu terdiri daripada tiga kumpulan gajah dikenali Kumpulan Cenderawasih, Tungku dan Pelita berdasarkan pengesanan keberadaan dari kolar satelit yang dipakai ketua kumpulan itu.

Sejak itu, JHL dibantu Felda telah berkolaboratif menggunakan mesin traktor serta alat-alat bunyian untuk menarik perhatian sekaligus menghalau gajah ke habitatnya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi dikesan.

Gajah Pygmy Borneo yang dilindungi sepenuhnya kerajaan dan disenaraikan dalam Jadual 1 Spesies Dilindungi Sepenuhnya Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dilihat menggemari kawasan ladang dengan cenderung mencerobohinya kerana laluan jaraknya dari Hutan Rizab Hidupan Liar Tabin ke situ dekat.

Pencerobohan kumpulan gajar ini didorong aktiviti pertanian, antaranya penanaman semula kelapa sawit di kebanyakan ladang, aktiviti mencincang batang kelapa sawit tua, penanaman tanaman kontan dan sebagainya.

  • oleh
  • Advertisement