Anda di sini

‘Golden State Killer’ mengaku bunuh 13 mangsa

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Joseph James DeAngelo semasa pendakwaannya di mahkamah di Sacramento, California pada 27 April, 2018. — Gambar AFP
MENGAKU BERSALAH: Gambar fail menunjukkan Joseph James DeAngelo semasa pendakwaannya di mahkamah di Sacramento, California pada 27 April, 2018. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Seorang bekas anggota polis Amerika Syarikat (AS) digelar sebagai ‘Golden State Killer’ mengaku bersalah ke atas 13 pembunuhan kelmarin, termasuk mengaku terbabit dalam beberapa kes rogol, rompakan dan penculikan, melakarkan garisan di bawah satu siri jenayah sadis yang menimbulkan pera-saan takut di California selama dua dekad.

Joseph James DeAngelo Jr. mengaku sebagai pembunuh dan perogol berbahaya yang menghantui negeri tersebut semasa tahun 1970-an dan 1980-an, ketika maklumat mengerikan mengenai jenayahnya dibacakan dalam perbicaraan rayuan yang diadakan di Sacramento.

“Skop jenayah Joseph DeAngelo agak mengejutkan,” pendakwa raya Thien Ho  memberitahu bilik mahkamah sementara – sebuah dewan tarian universiti yang ditukarkan untuk membolehkan mangsa hadir dengan penjarakan sosial.

“Setiap kali dia melepaskan diri, melarikan diri dengan senyap dalam kegelapan malam, menyebabkan penduduk ketakutan,” tambah Ho.

DeAngelo, 74, yang kelihatan lemah dibawa masuk dengan menggunakan kerusi roda sambil memakai pakaian seragam penjara berwarna jingga dan pelitup muka yang jelas, hanya menyebut “Ya,” “Tidak,” “Bersalah” dan “Saya mengaku” kepada soalan yang dikemukakan oleh hakim, ketika dia dimaklumkan mengenai syarat-syarat untuk perjanjian rayuan.

Pendakwa raya Amy Holliday berkata pihak negeri bersedia untuk menarik balik hukuman mati dan meminta 11 hukuman penjara seumur hidup berturut-turut tanpa parol terhadap bekas anggota polis dan veteran Vietnam itu.

DeAngelo ditangkap pada 2018, tiga dekad selepas kali terakhir ‘Golden State Killer’ bertindak. Pem-buruan akhirnya tamat selepas penyiasat berjaya memadankan bukti DNA dari kawasan jenayah dengan satu pangkalan data ginekologi keluarga yang digunakan oleh ahli keluarganya.

Dia pada mulanya didakwa hanya dengan pembunuhan pada 1978 terhadap Brian dan Katie Maggiore, pasa-ngan baharu berkahwin yang ditembak mati di Rancho Cordova, sebuah subbandar Sacramento, ketika membawa anjing mereka berjalan-jalan. Pada masa itu, dia tidak mengemukakan rayuan.

Namun pendakwa raya Ho berkata jenayah DeAngelo merangkumi “13 pembunuhan yang diketahui dan hampir 50 kes rogol,” termasuk beberapa rompakan.

Statut limitasi untuk kes rogol telah tamat, namun semua kesalahan dibacakan oleh pendakwa raya dalam perbicaraan yang berlanjutan sehingga tujuh jam.

Dalam satu kes, hakim mendengar bagaimana DeAngelo telah memaksa seorang mangsa untuk menyetubuhinya secara oral dengan mengugut akan mengerat telinga bayi lelaki-nya.

Seorang pendakwa raya kedengaran sebak ketika menerangkan bagaimana kepala mangsa telah dihentak sehingga mati dengan objek berat.

Serangan diketahui ber-mula pada 1975, pada mula-nya di kawasan Sacramento di tengah California, sebelum merebak di sekitar negeri itu.

Jenayah itu kelihatan telah berhenti secara tiba-tiba pada 1986 dengan kes rogol dan pembunuhan seorang gadis berusia 18 tahun.

Sepanjang tempoh itu, penyerang bertopeng yang teliti itu diberikan pelbagai nama jolokan lain termasuk ‘East Area Rapist’, ‘Diamond-Knot Killer’ dan ‘Original Nightstalker’.

Pada 1979, DeAngelo telah dipecat dari jabatan polis di Auburn, California kerana mencuri sebatang tukul dan setin pencegah anjing.

Dia bersara pada 2017 dari pekerjaan sebagai mekanik trak di Citrus Heights, tidak jauh dari Sacramento, di mana dia telah menetap selama lebih 20 tahun.

Penemuan DNA dalam kes dingin membawa kepada penahanan DeAngelo tidak lama  selepas buku jenayah sebenar yang laris terjual “I’ll Be Gone in the Dark” menimbulkan semula minat masyarakat terhadap kes terkenal itu.

Penulisnya Michelle McNamara, isteri kepada pelakon dan pelawak Hollywood Patton Oswalt, telah meninggal dunia sebelum penerbitan buku.

“Orang paling penting dalam perbicaraan #GoldenStateKiller pada hari ini adalah mereka yang terselamat,” kata Oswalt di Twitter.

“Semua hadir, semua memandang terus ke arah manusia keji itu, dan dia tidak mampu untuk membalas pandangan mereka. Itulah apa yang saya tumpukan sekarang.”

Sorakan seperti “bye bye” dan “so long” dapat didengari di dalam bilik ketika perbicaraan tamat, dengan keputusan dan penjatuhan hukuman dijangka bermula 17 Ogos.

Ramai mangsa dan keluarga sudah meninggal dunia sejak kejadian jenayah beberapa dekad yang lepas, kata pendakwa raya Holliday, dan pandemik CO-VID-19 telah mengancam penangguhan selanjutnya bagi mana-mana prosiding perbicaraan.

Sebagai tambahan kepada 11 hukuman penjara seumur hidup berturut-turut, perjanjian termasuk 15 hukuman penjara seumur hidup serentak berkaitan tuduhan senjata.

“Ahli keluarga mangsa pembunuhan telah me-nunggu selama beberapa dekad untuk keadilan bagi orang tersayang mereka,” tambah Holliday.

“Mangsa serangan seksual telah menunggu berdekad-dekad untuk keadilan.” — AFP

Advertisement