Anda di sini

Barcelona, Juventus umum pertukaran pemain tengah

Advertisement
 Arthur (kanan) bersaing dengan pemain tengah Celta Vigo, Rafinha pada perlawanan di antara Celta Vigo dan Barcelona di stadium Balaidos di Vigo baru-baru ini. — Gambar AFP
SENGIT: Arthur (kanan) bersaing dengan pemain tengah Celta Vigo, Rafinha pada perlawanan di antara Celta Vigo dan Barcelona di stadium Balaidos di Vigo baru-baru ini. — Gambar AFP
MIRALEM PJANIC
MIRALEM PJANIC

MADRID: Pemain tengah Barcelona Arthur Melo akan menyertai Juventus pada hujung musim ini, manakala Miralem Pjanic pula menyertai Barcelona dari Juventus, kedua-dua kelab itu mengumumkan kelmarin.

Barcelona berkata mereka telah membayar 60 juta euro (RM300 juta) campur jumlah berpotensi lima juta euro (RM25 juta) lagi dalam bentuk bonus untuk Pjanic, pemain tengah Bosnia, selepas terdahulu mengesahkan Juventus akan membayar 72 juta euro (RM360 juta) campur 10 juta euro (RM50 juta) dalam pelbagai bayaran untuk Arthur.

Kedua-dua perjanjian diluluskan secara berasingan, seterusnya membolehkan kedua-dua kelab untuk meningkatkan lagi angka keuntungan mereka menjelang hujung tahun kewangan pada 30 Jun.

Kontrak Pjanic selama empat tahun termasuk klausa pelepasan 400 juta euro (RM2 bilion) manakala Juventus berkata kontrak Arthur akan berkuatkuasa selama lima tahun, sehingga Jun 2025.

Arthur dan Pjanic akan kekal bersama pasukan mereka sekarang sehingga hujung kempen 2019/20, termasuk peringkat hujung Liga Juara-Juara pada Ogos.

Ia menimbulkan kemungkinan bahawa Arthur dan Pjanic mungkin akan berdepan dengan satu sama lain, dan kelab-kelab mereka pada masa depan, pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara di Portugal, jika kedua-dua pasukan memenangi perlawanan pusingan kedua peringkat 16 terakhir mereka yang tertangguh.

Dalam satu kenyataan, Juventus berkata mereka telah menandatangani arthur dengan harga ‘72 juta euro yang boleh dibayar dalam tempoh empat tahun. Nilai pembelian mungkin meningkat sebanyak maksimum 10 juta euro apabila syarat tertentu ditunaikan sewaktu tempoh kontrak’.

Arthur, seorang pemain antarabangsa Brazil, hanya menyertai Barca dari Gremio pada 2018 dan disanjung sebagai bintang masa depan bagi kelab, dan ramai meramalkannya sebagai pengganti jangka panjang kepada Xavi Hernandez bahagian tengah utama.

Selepas permulaan yang menggalakkan, pemain berusia 23 tahun itu merupakan seorang daripada beberapa pemain yang tidak berkembang pada musim ini tetapi motivasi utama bagi penjualannya dipercayai bersifat kewangan.

Pemergian Arthur menarik lebih banyak perhatian kepada lembaga dan presiden  Barcelona, Josep Maria Bartomeu.

Mereka telah menyaksikan beberapa langkah yang tidak menentu dalam pasaran perpindahan dan dituduh gagal melaksanakan sebarang hala tuju yang jelas bagi kelab.

Barcelona teruk terjejas disebabkan oleh penggantungan selama tiga bulan akibat pandemik koronavirus dan mereka perlu membawa masuk kira-kira 70 juta euro (RM350 juta) untuk memuaskan bajet mereka bagi musim sekarang.

Dengan menjual Arthur, lembaga dapat mencatatkan keuntutan dari perpindahan itu sejurus sebelum menjarakan pembayaran bagi Pjanic sepanjang kontrak pemain berusia 30 tahun itu.

Pjanic menyertai Juventus dari Roma pada 2016. Dia dibesarkan di Luxembourg dan pada mulanya mencipta nama dalam bola sepak Perancis bersama Metz dan kemudian Lyon.

Pada tahunh lepas, Barcelona menjalankan transaksi yang sama dengan menggantikan penjaga gol Jasper Cillessen dengan Neto dari Valencia, dalam perjanjian yang masing-masing bernilai sekitar 30 juta euro (RM150 juta).

Sementara kos Pjanic akan kurang sekitar 10 juta euro berbanding jumlah yang dibayar oleh Juventus untuk Arthur, kelab Itali itu mungkin merasakan mereka mempunyai perjanjian yang lebih baik kerana pemain Brazil itu adalah tujuh tahun lebih muda.

Arthur ragu-ragu untuk meninggalkan Camp Nou dan malah mengeluarkan satu kenyataan pada April lalu, untuk mengeaskan “idea saya adalah jelas” dan dia mahu bermain di Barcelona “selama bertahun-tahun”.

Namun dia berjaya dipujuk untuk mengubah fikirannya selepas diberi masa bermain yang terhad di bawah Quique Setien sedangkan jurulatih Juve Maurizio Sarri dilaporkan telah menjelaskan bahawa dia akan menjadi pemain yang penting dalam pasukannya di Turin.

Setien berkata dalam satu sidang akhbar kelmarin bahawa pemain tengah itu telah berjanji untuk memberikan segalanya bagi baki musim ini ketika Barcelona cuba mengurangkan jurang dua mata dengan Real Madrid di bahagian teratas liga.

“Kami menjangkakan komitmen terbesar daripadanya sehingga hari terakhir dia berada di sini,” kata Setien.

“Dia masih seorang pemain Barcelona sehingga akhir musim dan berjanji bahawa dia akan memberikan segalanya untuk mencapai matlamat yang kita sudah tetapkan. Dia adalah seseoang yang akan komited sehingga hari terakhir.” — AFP