Anda di sini

502 peniaga jalani saringan COVID-19

Advertisement
 Peniaga Pasar Umum Bandar Sandakan menjalani saringan COVID-19.
PEMERIKSAAN: Peniaga Pasar Umum Bandar Sandakan menjalani saringan COVID-19.

SANDAKAN: Sejumlah 502 peniaga di Pasar Umum Bandar Sandakan  telah menjalani saringan COVID-19 sehingga 30 Jun lepas.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr. Johari Awang Besar berkata, saringan COVID-19 telah dijalankan di Pasar Umum Bandar Sandakan bermula 22 Jun lepas.

"Saringan dijalankan di pasar itu berikutan terdapat pergerakan dan dinilai sebagai lokasi berisiko untuk jangkitan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, sejumlah 502 peniaga di pasar itu menjalani saringan sehingga 30 Jun lepas.

"Hasil dari saringan itu mendapati seorang positif, 346 orang peniaga didapati negatif dan 155 peniaga masih menunggu keputusan," katanya.

Dr. Johari berkata, berikutan kes positif di Pasar Umum Sandakan, langkah kawalan dan pencegahan sedang giat dijalankan termasuk pengesanan kontak, pengesanan kes melalui penilaian risiko dan saringan mereka yang ada menjalankan urus niaga di Pasar Umum Sandakan.

Selain itu beliau berkata, Pasar Umum Bandar Sandakan telah ditutup sementara bermula 1 Julai 2020 bagi tujuan nyah kuman atau disinfeksi oleh pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan.

 Pihak berwajib menjalankan operasi nyah kuman di dalam dan luar kawasan Pasar Umum Bandar Sandakan.
LANGKAH PENCEGAHAN: Pihak berwajib menjalankan operasi nyah kuman di dalam dan luar kawasan Pasar Umum Bandar Sandakan.

"Pasar ini dijangka akan mula dibenarkan beroperasi seperti biasa pada Khamis (2 Julai 2020) seawal jam 10 malam.

"Semua peniaga pasar ini akan diberi taklimat sebelum pembukaan pada jam 9 pagi Khamis berkaitan SOP yang wajib dipatuhi mereka," katanya.

Dr. Johari berkata, jika mereka gagal patuhi, mereka akan diarahkan untuk penutupan gerai atau kompaun oleh pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

  • oleh
  • Advertisement