Anda di sini

Tiga didenda kerana ingkar PKP di Betong

Advertisement
 

SRI AMAN: Akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu, tiga individu masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada 24 Jun lalu. 

Majistret Maris Agan juga mengarahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara seminggu sekiranya gagal membayar denda. 

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Harrisfazilah Mohamad memberitahu, ketiga-tiga lelaki berkenaan gagal membayar denda dan kini menjalani hukuman penjara di penjara Pusat Sri Aman. 

Jelasnya juga, mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang merupakan kawasan jangkitan. 

"Tertuduh pertama berusia 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu semasa sekatan jalan raya sempena OPS COVID-19 dan ditangkap di KM2, Jalan Bebanggai Betong pada 11 April lalu, jam 5 petang. 

"Tertuduh kedua berusia 30 tahun pula didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Tanjung Pasir, Pusa pada 12 April, jam 4.30 petang," ujarnya menerusi satu kenyataan pada 29 Jun. 

Sementara itu menurutnya, seorang lagi tertuduh berusia 26 tahun ditangkap di tepi jalan Kampung Kalok, Pusa, dan didakwa ingkar PKP pada 14 April lalu, jam 6 petang. 

Mereka masing-masing didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit  (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2020 dan boleh dihukum kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama. 

Peraturan itu memperuntukkan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

  • oleh
  • Advertisement