Anda di sini

Tiada sebarang perjanjian selain parti Pakatan Harapan Plus

Advertisement

KUALA LUMPUR: AMANAH dan DAP menegaskan akan menolak sebarang cubaan untuk membuat perjanjian dengan mana-mana pihak selain daripada parti asal Pakatan Harapan Plus.

Menerusi kenyataan bersama, Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran berkata mereka akan kekal bergabung dengan gabungan parti sama yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Parti berkenaan adalah AMANAH, DAP, PKR, WARISAN dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti BERSATU, menurut kenyataan itu.

“Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung BERSATU),” menurut mereka.

Sebelum ini timbul desas-desus mengenai pertemuan antara Hamzah dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim namun Hamzah berkata ia adalah pertemuan peribadi individu yang sudah tidak berjumpa selama beberapa tahun dan perkara yang dibincangkan adalah perkara peribadi dan tidak perlu dihebahkan kepada umum.

Pada Sabtu, bekas perdana menteri Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau dan rakan dalam PH iaitu  AMANAH dan DAP memilih Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Ketua Menteri Sabah, sebagai calon perdana menteri (PM) bagi PH, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1 dan bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai TPM 2 jika pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN).

Kelmarin, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata komponen PH terbuka kepada sebarang cadangan mengenai calon PM untuk pembangkang tetapi perkara itu perlu dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH.

PN dianggotai BERSATU, dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku pengerusi dan presiden, Barisan Nasional diterajui UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil lain. — Bernama

Advertisement