Anda di sini

Tanggung sendiri kos saringan COVID-19

  Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Bermula semalam, rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ini perlu menanggung sendiri kos ujian saringan COVID-19 setibanya di Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, tiga kategori individu akan diberi pengecualian daripada membayar kos ujian itu termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua lagi kategori ialah pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi dan pelajar yang pulang dari luar negara bagi kali pertama sahaja, dan perlu mengemukakan bukti pengajian.

“Bagi tiga kategori ini, jika mereka telah membayar caj ujian saringan sebelum keputusan pengecualian ini dibuat, mereka boleh menuntut semula caj daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media harian semalam.

Dilaporkan sebelum ini, caj ujian saringan COVID-19 bagi warga Malaysia yang pulang ke negara ini, adalah antara RM30 hingga RM150 manakala warga asing pula dikenakan caj antara RM60 hingga RM250.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini diingatkan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai pematuhan SOP itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar arahan yang ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil.

“Saya tidak tahu berapa aduan melanggar SOP dilaporkan bagi PRK Chini. Saya ingin mengingatkan kepada semua yang berada di situ iaitu petugas, orang ramai, penyokong atau pengundi agar patuh SOP. Kegagalan pematuhan itu boleh menyebabkan mereka diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga mengi-ngatkan pelajar sekolah melibatkan peperiksaan awam yang telah mula bersekolah agar mematuhi SOP jarak sosial termasuk di luar sekolah. 

Ini berikutan tular dalam media sosial pelajar mengingkari SOP itu sebaik keluar dari kawasan sekolah.

“Kategori pelajar yang terlibat ini yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM mereka telah dewasa dan patut menjaga keselamatan diri sendiri dan kawalan kendiri. Jadi diharapkan mereka terus amalkan SOP yang ditetapkan walaupun di luar pagar sekolah,” katanya.

Ditanya adakah kerajaan bercadang untuk tidak membenarkan konvoi motosikal dijalankan dalam tempoh PKPP ini susulan Ops Tutup Khas di Temerloh, Pahang kelmarin yang menyaksikan 358 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan, Ismail Sabri berkata buat masa ini kerajaan belum bercadang mengharamkan konvoi motosikal.

“Semalam (kelmarin) kejadian pertama, kita anggap ini kes terpencil yang berlaku dan tidaklah memerlukan semua konvoi dihentikan. Kalau berleluasa selepas ini (di mana) tiba-tiba semua yang terlibat dalam konvoi motosikal ini melakukan kesalahan (seperti) berkumpul beramai-ramai, rapat-rapat dan tiada jarak sosial, bukan perkara mustahil untuk kerajaan lihat semula kebenaran (konvoi) itu.

“Jadi saya berharap kepada penunggang motosikal yang berkonvoi, patuhilah SOP kerana kalau terlampau banyak kegagalannya akan menyebabkan keseluruhan konvoi di Malaysia tidak dibenarkan lagi,” katanya. — Bernama

Advertisement