Anda di sini

Tambadau kembali ke padang latihan 1 Julai

Advertisement
 Pegawai dan jurulatih pasukan senior Tambadau Sabah serta staf SAFA di pejabat SAFA di KSKK kelmarin  berbincang mengenai persiapan pasukan menjalankan latihan bermula esok (Rabu).
BINCANG: Pegawai dan jurulatih pasukan senior Tambadau Sabah serta staf SAFA di pejabat SAFA di KSKK kelmarin berbincang mengenai persiapan pasukan menjalankan latihan bermula esok (Rabu).

KOTA KINABALU: Skuad senior Tambadau Sabah dijadualkan kembali ke padang latihan esok (1 Julai) selepas kira-kira tiga bulan berkurung di rumah kerana krisis COVID-19.

Permohonan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk skuad Liga Supernya menjalankan latihan telah diluluskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkuatkuasa 30 Jun.

Kelulusan itu diperolehi selepas SAFA melaksanakan dan melepasi Prosedur Operasi Standard (SOP) awal seperti ujian calitan (swab test) COVID-19 kepada semua anggota pasukan.

Pengurus pasukan, Henry Saimpon berkata, keputusan ujian calitan pemain dan pegawai pasukan semuanya negatif.

Sambil itu, ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto mengalu-alukan kelulusan menjalankan latihan itu.

"Tentunya saya gembira (dengan kelulusan menjalankan latihan) dan saya rasa semua pemain juga merasakan hal yang sama setelah tiga bulan tidak melakukan aktiviti di padang.

"Untuk latihan fasa 1 ini, tentunya kami akan fokus untuk mengembalikan rasa dan sentuhan bola serta menserasikan pemain kepada suasana norma baharu menjalani latihan sesuai dengan SOP yang ditetapkan," kata Kurniawan ketika dihubungi di sini kelmarin.

Menurutnya, mereka akan pastikan SOP dipatuhi sepenuhnya termasuk dari segi penjarakan sosial dan tidak boleh ada sentuhan fizikal semasa latihan.

"Kita akan patuhi SOP supaya semuanya berjalan lancar dan paling penting adalah kesihatan dan keselamatan pemain serta pegawai," katanya.

Pegawai dan jurulatih pasukan telah mengadakan perbincangan di pejabat SAFA di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) kelmarin untuk mendapatkan gambaran jelas terhadap tugas masing-masing sesuai dengan SOP yang ditetapkan apabila pasukan kembali memulakan latihan.

Mengikut cadangan awal, saingan Liga Super yang hanya berlangsung kira-kira dua bulan sebelum ditunda bermula 16 Mac lalu ekoran krisis COVID-19 akan disambung pada September 2020.

Bagaimanapun, saingan utama bola sepak negara itu mungkin akan diadakan lebih awal sekiranya keadaan mengizinkan di mana negara sekarang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos.

Sebagai rekod, Tambadau Sabah berada di kedudukan keempat di kalangan 12 pasukan dalam carta Liga Super selepas mengutip lima mata dari empat perlawanan.

Tiga pasukan teratas didahului Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 10 mata diikuti Perak (lapan mata) dan Pahang (enam) mata.

  • oleh
  • Advertisement